Sebatan di khalayak: SUHAKAM tidak wajar pertikai




Sebatan di khalayak: SUHAKAM tidak wajar pertikai
December 25, 2024


KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat mengingatkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) agar tidak membuat kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya menegaskan, tambahan lagi jika pendirian SUHAKAM itu seolah-olah mempertikai bidang kuasa Negeri.

“Pelaksanaan hukuman sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Syariah Terengganu berpandukan lunas perundangan yang jelas serta tidak bertentangan dengan kuasa Negeri dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, keputusan pihak Hakim Mahkamah Syariah Negeri itu seharusnya dihormati oleh semua pihak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengingatkan SUHAKAM bahawa dalam undang-undang, prinsip hukuman setimpal (retributive justice) dan pencegah rintang kepada masyarakat di luar sana adalah sangat mustahak.

Beliau berkata, jangan membakulkan segala-galanya atas nama ‘hak asasi manusia’ semata-mata sehingga mengenepikan peranan undang-undang dalam mengurus kehidupan manusia.

Ahmad mencadangkan supaya SUHAKAM mengangkat prinsip perundangan serta menilai hak asasi daripada perspektif agama, bukan bertindak sebaliknya berpandukan kepada agenda hak asasi manusia ciptaan Barat yang telah rosak.

“Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa hukuman sebatan di khalayak ramai ini adalah wajar dan bukannya berniat untuk menjatuhkan maruah si pesalah.

“Ia perlu dilihat dalam konteks hukuman yang membentuk keinsafan kepada si pesalah dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sedemikian pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/12/2024

Ulasan