Sebatan syariah bawa keadilan sebenar, bermaruah



IPOH: Dewan Ulamak PAS Negeri Perak menyokong penuh pelaksanaan hukuman sebatan syariah secara terbuka yang dijalankan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, hari ini.

Ketua Ulamak PAS Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria menyifatkan pelaksanaan hukuman itu sebagai bukti komitmen PAS dan Kerajaan Negeri Terengganu dalam menjunjung syariat Islam.

“(Ia) sebagai undang-undang yang membawa keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh umat manusia. Hal ini selaras dengan surah an Nur ayat 2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menurut tafsir Ibnu Asyur, ayat 2 surah an-Nur itu menegaskan perlunya hukuman dijalankan di hadapan khalayak ramai atas perintah Allah.

Jelasnya dari tafsir itu, ia untuk membuktikan bahawa hukum hudud dilaksanakan serta memberi ancaman kepada sikap sambil lewa dalam menegakkan keadilan.

Ustaz Ibrahim menjelaskan bahawa hukuman sebatan itu bertujuan mendidik pelaku kesalahan serta memberi peringatan kepada masyarakat secara umum.

“Pelaksanaannya dilakukan dengan penuh hikmah, antaranya pertama menggunakan rotan kecil secara sederhana, tidak mencederakan pelaku.

“Keduanya, selaras dengan prinsip rahmah (kasih sayang) dan hikmah (kebijaksanaan) dalam Islam. Ketiganya, bertujuan menimbulkan keinsafan, bukan penderitaan atau hanya bertujuan memalukan semata-mata,” jelasnya.

Menurutnya, dari sudut perundangan, pelaksanaan hukuman itu adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukkan dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, di mana hukum syariah boleh dikenakan terhadap umat Islam.

Dalam kes itu katanya, pesalah merupakan individu yang telah beberapa kali melakukan kesalahan khalwat dan pernah dijatuhkan hukuman secara tertutup sebelum ini.

Namun jelasnya, hakim memutuskan untuk melaksanakan hukuman kali ini secara terbuka bagi memberikan pengajaran kepada masyarakat.

“Pelaksanaan hukuman ini bertujuan memberikan pengajaran langsung kepada masyarakat mengenai keadilan dan keberkesanan syariah dalam menangani isu serta berpandukan lunas perundangan yang jelas,” jelasnya.

Ustaz Ibrahim juga menegaskan bahawa hukuman itu bukan sekadar untuk menghukum, tetapi bertujuan mendidik masyarakat supaya menjauhi maksiat dan menghormati undang-undang syariah.

Selain itu katanya, hukuman itu juga dilihat sebagai satu usaha membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan bermaruah.

“Ia juga bertujuan untuk memperkenalkan cara sebatan syariah lawan sebatan sivil yang sama sekali berbeza cara pelaksanaannya,” ulasnya.

Dalam pada itu, pihaknya turut merakamkan ucapan tahniah serta penghargaan kepada Mahkamah Syariah Terengganu atas komitmen dalam melaksanakan hukuman itu dengan penuh hikmah.

“Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada institusi ini agar terus menjadi teras keadilan yang menjaga kesucian hukum Allah di atas muka bumi ini, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2024

Ulasan