
Sediakan peluang pendidikan kepada golongan tertindas
SEMUA negara Islam diseru bekerjasama menyediakan peluang pendidikan kepada golongan tertindas untuk membina generasi muda yang berpotensi mengangkat martabat umat Islam.
Oleh Shahrizad Sa-idul Haj
23 Disember 2024, 8:25 am
UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus mencatat sejarah apabila berjaya menganjurkan Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Dunia Islam dari 11 hingga 12 Disember 2024. Mesyuarat ini juga dihadiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, yang turut menyampaikan ucapan pembukaan. Program ini menghimpunkan lebih 200 wakil dari 32 negara, termasuk Malaysia, sebagai platform penting untuk membincangkan isu-isu global yang dihadapi komuniti Muslim, khususnya dalam menangani penindasan dan ketidakadilan.
Antara isu yang mendapat perhatian utama ialah penindasan terhadap rakyat Palestin serta konflik di Syria, Uighur, Kashmir, Myanmar, Yaman, dan Sudan. Dalam banyak kes, hak asasi manusia seperti akses kepada pendidikan dan kesihatan sering dinafikan kepada komuniti tertindas ini. Ali Rashid Al-Nuaimi dari UAE, Pengerusi Majlis Komuniti Muslim Sedunia, menyeru kerjasama strategik negara-negara Islam bagi menangani isu kemanusiaan ini. Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Palestin, Dr. Mahmoud Sedqi Abdalrahman Alhabbash, turut menegaskan kepentingan pendidikan sebagai asas membangunkan komuniti yang lebih baik.
Konsep Tauhid dan Peranan UIAM
Sebagai universiti Islam terkemuka, UIAM berperanan penting dalam mempromosikan pendidikan berlandaskan nilai Islam melalui konsep tauhid atau Tauhidization. Tauhidization adalah pendekatan yang menyepadukan nilai tauhid dalam ilmu pengetahuan, amalan, dan sistem pendidikan. Ia bertujuan melahirkan generasi berilmu, beriman, dan berakhlak mulia, yang mampu memimpin masyarakat ke arah pembangunan sejagat.
Dalam konteks komuniti Islam yang tertindas, Tauhidization menggariskan pendekatan holistik yang menekankan keadilan, belas kasihan, dan tanggungjawab sosial. UIAM, sebagai pelopor dalam pendidikan Islam, menyeru semua negara Islam bekerjasama menyediakan peluang pendidikan kepada golongan tertindas untuk membina generasi muda yang berpotensi mengangkat martabat umat Islam.
Pendidikan ini bukan sahaja memberi ilmu akademik tetapi juga membentuk pemikiran kritis dan kefahaman terhadap peranan mereka sebagai khalifah Allah. Ia menjadi alat untuk memperkasakan individu serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih harmoni dan berdaya saing. Sejajar dengan visi UIAM, pendidikan ini juga berfungsi sebagai misi dakwah yang menyeluruh.
Pendidikan: Tonggak Melawan Penindasan
Pendidikan adalah hak asasi manusia yang tidak boleh dinafikan. Namun, anak-anak muda dari kawasan konflik seperti Palestin, Syria, dan Uighur telah kehilangan akses kepada pendidikan akibat peperangan dan penindasan. Sekolah dan universiti di kawasan ini kerap menjadi sasaran serangan atau terpaksa ditutup. Kekurangan sumber asas seperti buku teks, peralatan pembelajaran, dan guru terlatih memburukkan lagi keadaan.
Tanpa pendidikan, generasi ini menghadapi risiko kekal dalam kitaran kemiskinan dan ketidakstabilan. Mereka lebih terdedah kepada eksploitasi, termasuk risiko terjerumus dalam jenayah atau radikalisme. Pendidikan membuka peluang untuk mereka membina kemahiran, pemikiran kritis, dan memperoleh pekerjaan yang lebih baik. Firman Allah dalam Surah al-Maidah, ayat 8: Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua kerana) sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu lakukan”. Ayat ini menyeru umat Islam agar berlaku adil, termasuk dalam menyediakan peluang pendidikan kepada golongan tertindas.
Pelan Tindakan Strategik
Sebagai langkah strategik, negara-negara Islam boleh menubuhkan dana biasiswa kolektif untuk menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar dari kawasan konflik. Dana ini boleh menampung kos pengajian, penginapan, dan keperluan asas mereka. Selain itu, institusi pendidikan berprestij seperti UIAM, universiti-universiti di Timur Tengah, Indonesia, dan Brunei boleh menawarkan kuota khas serta pendidikan percuma kepada pelajar dari negara-negara yang terjejas. Pendidikan formal ini boleh dilengkapi dengan program latihan kemahiran seperti teknologi maklumat, keusahawanan, dan pertanian moden bagi membolehkan pelajar menyumbang kepada pembangunan semula komuniti mereka.
Penggunaan teknologi digital juga merupakan langkah penting untuk menyediakan pembelajaran jarak jauh. Platform pembelajaran dalam talian boleh dibangunkan dalam pelbagai bahasa untuk membolehkan pelajar di kawasan konflik mengakses pendidikan. Di peringkat antarabangsa, negara-negara Islam boleh memanfaatkan forum seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Kumpulan Visi Strategik Russia-Dunia Islam bagi menuntut perlindungan pendidikan serta mendapatkan sokongan daripada badan bukan kerajaan dan penderma antarabangsa.
Solidariti Ummah dan Tanggungjawab Kolektif
Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan solidariti ummah dan tanggungjawab kolektif negara-negara Islam. Pendidikan memberikan harapan baharu kepada komuniti tertindas untuk membina masa depan yang lebih cerah. Firman Allah dalam Surah At-Taubah, ayat 71: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh mengerjakan yang makruf, mencegah dari yang mungkar”.
Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Dunia Islam membuka peluang bagi negara-negara Islam untuk berganding bahu dalam usaha lebih konkrit. Dengan menyediakan platform dan peluang pendidikan kepada anak-anak tertindas tetapi berpotensi, kita bukan sahaja melahirkan pemimpin masa depan tetapi juga menyumbang kepada pembinaan dunia Islam yang lebih harmoni, berdaya tahan, dan berdaya saing. Sebagai universiti Islam terkemuka, UIAM berada di barisan hadapan dalam menyediakan pendidikan berasaskan nilai Islam untuk golongan yang memerlukan.
Dengan mengamalkan pendekatan Tauhidization, UIAM komited untuk menjadi peneraju dalam usaha global ini, membimbing generasi muda ke arah pembangunan berlandaskan keadilan dan kesaksamaan. Semoga usaha ini menjadi manifestasi keadilan dan takwa yang dituntut Islam, serta diterima sebagai ibadah yang membawa keberkatan kepada umat seluruhnya. – UTUSAN
SHAHRIZAD Sa-idul Haj ialah Pengarah di Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Ulasan
Catat Ulasan