‘Sedikit tanda ingat, banyak tanda ada’
December 2, 2024
Share
KUALA TERENGGANU: “Sedikit tanda ingat, banyak tanda ada,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.
Menerusi catatan di laman Facebook, beliau melahirkan kesyukaran kerana dapat membantu mempermudahkan urusan mangsa banjir.
“Alhamdulillah, ambe (saya) begitu bersyukur dengan kesemangat kekeluargaan dan kebersamaan para penyumbang begitu juga para petugas yang banyak membantu mempermudahkan urusan mangsa banjir kali ini,” katanya.
Menurutnya, kali ini telah selesai agihan sumbangan sekampit beras kepada mangsa-mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai bekalan untuk makan.
Katanya, beras-beras itu juga merupakan antara sumbangan daripada orang ramai dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di dalam DUN Wakaf Mempelam.
“Pastinya beras sahaja tidak mencukupi, namun pihak JPKK sentiasa mengingatkan dan membuka ruang untuk mangsa-mangsa banjir tidak berpindah ini untuk memaklumkan apa sahaja keperluan makanan yang tidak mencukupi di rumah mereka.
“Insya-Allah pihak JPKK dan pasukan kebajikan akan bantu,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri.
Tambahnya, turut bersama dalam sesi menyantuni itu ialah jentera-jentera petugas bilik operasi yang diketuai oleh Khidmat Malaysia DUN Wakaf Mempelam.
Menurutnya lagi, mereka sentiasa bersiap sedia bila-bila masa sahaja diperlukan.
“Terima kasih buat semua. Selesai misi menyelamat ini, kita fokus misi membersih pula, insya-Allah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan