Segera projek tebatan banjir, elak rugi berulang


Segera projek tebatan banjir, elak rugi berulang
December 17, 2024


TUMPAT: Projek tebatan banjir yang tertangguh perlu disegerakan bagi memastikan masalah banjir di negara ini khususnya di Kelantan, dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kelewatan projek tersebut hanya akan menambah beban kos dan melanjutkan penderitaan rakyat setiap kali banjir melanda.

“Setiap projek tebatan banjir sekurang-kurangnya mengambil tempoh tiga tahun untuk siap. Jika projek tertunda lagi setahun bagi proses penyediaan pembinaan, ia akan melambatkan lagi proses penyiapan tebatan berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan, khususnya di Daerah Tumpat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka hadir bersama ADUN-ADUN PAS dari negeri Pahang dalam misi bantuan banjir hari ini.

Menurutnya, penangguhan projek bukan sahaja melambatkan penyelesaian masalah banjir, malah akan membabitkan kenaikan kos yang tidak mungkin lebih murah dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau turut menegaskan, negara mengalami kerugian purata sebanyak RM6 bilion setiap kali banjir berlaku.

“Kerugian ini merangkumi kerosakan jalan raya, infrastruktur, kediaman, binatang ternakan, dan banyak lagi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Tambah beliau, jika dinilai dalam tempoh tiga tahun, maka akan lebih banyak kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara dan rakyat akibat kelewatan itu.

Beliau menjelaskan bahawa kelulusan sebanyak RM15 bilion untuk projek tebatan banjir di negeri ini telah dibuat semasa pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada ketika itu.

Katanya, projek itu tidak pernah dibatalkan, cuma ditangguh untuk dinilai semula, termasuk proses pemilihan kontraktor melalui tender terbuka.

Namun, beliau menegaskan bahawa projek ini perlu disegerakan bagi mengelakkan kerugian yang berpanjangan.

“Pemilihan kontraktor di peringkat jawatankuasa Kementerian Kewangan (MOF) adalah hak kerajaan pada waktu tersebut.

“Tidak timbul soal penyelewengan kerana prosedur tetap dipatuhi,” tegasnya untuk usaha meneruskan pembinaan tebatan banjir perlu dilakukan segera.

Katanya, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri juga telah mengumumkan berkenaan tender projek tersebut di Parlimen.

“Oleh itu, sebaiknya ia dipercepatkan untuk memastikan negara bersedia menghadapi musim banjir dan mengurangkan risiko kerugian pada masa akan datang,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

Ulasan