Sistem bank perlu kebal


Sistem bank perlu kebal

05 Disember 2024 08:00am
Masa membaca: 2 minit


SHAH ALAM - Bank perlu bertindak sebagai penjaga kepercayaan dalam memastikan sistem mereka kebal agar pelanggan tidak menanggung kesan daripada kegagalan sistemik.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, hanya melalui langkah-langkah itu kegiatan penipuan dapat dikurangkan dengan ketara.kegiatan

Menurutnya, jika bank gagal melaksanakan langkah berjaga-jaga dan data pelanggan terjejas, pelanggan tidak boleh dan tidak patut dipersalahkan.

“Peralihan kepada perbankan digital mempunyai potensi besar untuk meningkatkan inklusi kewangan, tetapi ia mesti disokong oleh komitmen terhadap perlindungan pelanggan.

“Kami menyokong penuh seruan Perdana Menteri dan menggesa agar sebarang kerugian kewangan yang dialami oleh pelanggan bank akibat penipuan segera diberi ganti rugi.

“Alasannya mudah iaitu penipu tidak akan dapat menyasarkan pelanggan tanpa terlebih dahulu memperoleh maklumat peribadi mereka yang seharusnya dilindungi dengan selamat oleh pihak bank,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bank perlu membayar semula kerugian dialami mangsa penipuan atau scammer sekiranya dikenal pasti jenayah berlaku disebabkan kecuaian oleh institusi terbabit.

Jelasnya, perkara berkenaan tertakluk dalam peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) Akta 593.



Tambah Solomon, amat penting bagi bank untuk mengambil tanggungjawab melindungi maklumat butiran peribadi yang diserahkan pelanggan bagi kegunaan perkhidmatan mereka.

“Kegagalan melakukannya bukan sahaja mendedahkan pelanggan kepada penipuan kewangan tetapi juga meletakkan beban yang tidak adil ke atas mereka apabila kejadian ini berlaku.

“Pendekatan ini membuatkan mangsa berasa malu atau takut dipersenda sehingga enggan melaporkan kejadian. Keadaan ini memburukkan lagi masalah kerana penipu kekal bebas beroperasi,” jelasnya.

Ulasan