Sokong lebih kerap pemeriksaan Puspakom
Oleh Mohammad Radzi Mohd Zin
28 Disember 2024, 7:07 am
CADANGAN agar kendaraan berat yang beroperasi dalam industri berisiko tinggi melalui pemeriksaan Puspakom sekurang-kurangnya empat kali setahun wajar diberi perhatian.
Antara kenderaan berat yang berisiko adalah lori tangki membawa bahan berbahaya, treler dan sebagainya yang perlu dipastikan berada dalam keadaan selamat khususnya ketika menggunakan laluan berkapasiti tinggi.
Demkian juga dengan bas persiaran dan bas eskpres yang melakukan perjalanan yang jauh. Contohnya, bas ekspres yang membuat perjalanan berulang-alik melebihi 300 kilometer (km) sehari.
Ini sebagai mengikuti prosedur Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mewajibkan syarikat bas ekspres wajib menyediakan pemandu kedua untuk perjalanan melebihi 300km bagi menjamin keselamatan penumpang.
Peraturan itu turut diwajibkan bagi tempoh perjalanan melebihi empat jam. Ia demi memastikan pemandu mendapat rehat secukupnya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan, terutama kemalangan maut.
Cadangan itu dilihat wajar diberi perhatian serius. Terutama selepas insiden tragis mengakibatkan tujuh termasuk lima sekeluarga maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan.
Kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara, berhampiran Simpang Ampat. Melaka, 23 Disember lalu.
Selang tiga hari, dua lelaki maut apabila kereta Proton Waja dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Pontian Lama berhampiran bulatan Taman Desa Skudai, pada tengah malam.
Umumnya, kita setuju agar kenderaan terlibat diperiksa lebih kerap. Ini supaya ia sentiasa dalam keadaan yang baik termasuk dalam segi mekanikal.
Kita sedia maklum, kenderaan berat ini membawa risiko besar kepada pengguna jalan raya kerana saiznya, kapasitinya, beratnya dan kekerapan kehadirannya di jalan raya.
Pemeriksaan tahunan sahaja mungkin tidak mencukupi untuk memastikan keselamatan kenderaan ini, terutama dari segi komponen kritikal seperti tayar, sistem brek dan gandar.
Pemeriksaan berkala dapat membantu mengesan masalah mekanikal lebih awal sebelum ia menjadi punca kemalangan.
Kenderaan berat perlu menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya dua kali setahun namun dalam beberapa kes, terutama kenderaan berat berisiko tinggi seperti lori tangki membawa bahan berbahaya pemeriksaan empat kali setahun mungkin lebih sesuai.
Buat masa ini, caj bagi pemeriksaan kenderaan di Puspakom adalah antara RM20 hingga RM90. Setiap kenderaan terlibat terutama kenderaan pengangkutan awam dan mengangkut barang diwajibkan menjalani pemeriksaan setiap enam bulan sekali.
Banyak kemalangan puncanya adalah kecuaian manusia. Namun, ada juga kemalangan yang berlaku akibat masalah kerosakan atau masalah mekanikal kenderaan.
Untuk itu, beberapa langkah proaktif boleh diperkenalkan kerajaan seperti mewajibkan teknologi keselamatan moden pada kenderaan berat.
Antaranya penggunaan peranti penghad kelajuan, Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) supaya menambah ciri-ciri keselamatan terhadap kenderaan berat.
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan