Sukar keluar bekerja kerana ‘banjir termenung’


Sukar keluar bekerja kerana ‘banjir termenung’
December 4, 2024

KOTA BHARU: Masalah banjir termenung yang membelenggu penduduk Pasir Kota di pinggir Sungai Kelantan dan Kampung Belukar Jalan Telipot mendapat perhatian ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman.

Shaari berkata, air banjir termenung di Pasir Kota melepasi paras dada mengambil masa lama untuk kembali surut.

Katanya situasi itu menyebakan banyak harta benda milik penduduk rosak.

“Penyelesaiannya dengan membuat saliran bagi mengalirkan air ke longkang besar dan ke kawasan takungan air di Lembah Sireh.

“Semak dan belukar yang tumbuh meliar di kawasan laluan air juga menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan lancar,” katanya ketika meninjau lokasi tersebut hari ini.

Turut hadir pada tinjauan tersebut Ahli-ahli Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Aidy Hassan, Che Azlina Che Harun dan Mhd Nordin Ibrahim. Turut serta pegawai MPKB-BRI dan wakil pemaju pembangunan Lembah Sireh.

Mhd Nordin dan pegawai MPKB-BRI turut meninjau masalah serupa di jalan ke Tadika Kemas di Kampung Belukar, Telipot yang sering tenggelam akibat hujan lebat.

Jalan tersebut tenggelam beberapa hari selepas hujan lebat sehingga menyukarkan ibu bapa menghantar anak ke Tadika Kemas.

Shaari juga berkata, masalah terbabit diketengahkan kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan MPKB-BRI supaya dapat diambil tindakan segera.

“Di Kampung Pasir Kota terdapat lebih 100 rumah penduduk yang terkepung akibat air banjir termenung.

“Penduduk terpaksa menggunakan perahu untuk keluar bekerja dan pelajar datang ke sekolah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024

Ulasan