Tak patut jadikan usia sebagai alasan
Oleh Zabry Mohamad Madzlan
28 November 2024, 7:00 am
UMUR 65 tahun ke atas tidak layak memandu kereta, tunggang motosikal?
Buat masa ini tiada had umur maksimum untuk memandu di jalan raya di negara ini. Yang ada adalah Seksyen 30 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) mewajibkan pemandu memastikan diri mereka berada dalam keadaan sihat dan berupaya untuk memandu.
Namun, ada pihak bimbang apabila kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas meningkat. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, nahas jalan raya melibatkan warga emas pada 2020 adalah sebanyak 8.9 peratus, meningkat 9.2 peratus (2021) dan 12 peratus (2022).
Lebih membimbangkan, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan populasi warga emas berusia 60 tahun ke atas mencecah 3.3 juta pada 2020, meningkat menjadi 3.5 juta (2021) dan 3.8 juta (2023).
Justeru, ada pihak mencadangkan warga emas perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan apabila memperbaharui lesen memandu.
Peraturan ini dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang tidak melarang warga emas memandu, tapi mengenakan syarat-syarat tambahan untuk memperbaharui lesen memandu mereka.
Ya, memang boleh tiru negara-negara maju, tetapi sistem pengangkutan awam mereka cukup efisien. Mereka yang tidak lagi layak memandu boleh pilih naik bas, tren, tube (kereta api bawah tanah) pada harga berpatutan.
Kita di sini macam mana? Anak saya yang belajar di Tanjong Karang, perlu naik bas henti-henti untuk ke Terminal Bas Bandar Malawati, Kuala Selangor yang jaraknya kira-kira 20 kilometer untuk ke ibu negara. Tunggu dari pukul 1 tengah hari sampai 3 petang pun belum gerenti ada bas lalu.
Nak naik GrabCar, tambang pula mahal, RM15 sudah cukup tinggi buat pelajar kolej. Nak tak nak, kena ada juga kenderaan sendiri untuk senang bergerak ke sana sini.
Begitu jugalah golongan warga emas. Saya percaya mereka pun kalau boleh tidak mahu memandu atau menunggang sendiri ke mana-mana.
Tapi apa pilihan yang mereka ada? Nak guna pengangkutan awam bukan makin menyenangkan, malah menyusahkan lagi. Infrastruktur pun tidak mesra warga emas.
Usia tidak sepatutnya dijadikan alasan atau asbab. Banyak lagi faktor yang menjadi punca kemalangan jalan raya. Permukaan jalan teruk dan keadaan kenderaan tidak sempurna juga antara faktornya.
Saya pun ada kenalan umur 70 tahun yang masih cekap dan berhemah menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Sepatutnya selesaikan dahulu isu-isu berkaitan kemalangan jalan raya lain yang lebih membimbangkan seperti pemandu mabuk, lori lebih muatan, khayal dadah dan motosikal langgar lampu isyarat merah. Saya pasti kita sendiri yang saban hari berada di jalan raya melalui pengalaman-pengalaman sebegini. Tumpukan ini dahulu.
Zabry Mohamad Madzlan ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan