Tengku Zafrul mencari dahan lebih kukuh?
Oleh Mohd Nizam Mohamad Yatim
18 Disember 2024, 10:30 am
Apakah Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menyertai PKR dalam tempoh terdekat ini? Spekulasi itu semakin rancak diperkatakan terutama dalam kalangan pemimpin UMNO.
Ini kerana Tengku Zafrul adalah Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja. Beliau juga dilihat sebagai antara tokoh pemimpin dalam parti itu yang boleh dibawa ke tengah bagi menerajui urusan berkaitan ekonomi negara.
Kemampuan beliau sebagai anggota Kabinet kerajaan memang tidak boleh dinafikan mengambilkira pengalaman luasnya sebagai ahli perbankan, dunia korporat dan kejayaan meletakkan Malaysia dalam ekonomi dunia.
Sebab itulah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu diberikan laluan mudah untuk memegang jawatan dalam UMNO walaupun gerakan politik akar umbi beliau boleh dipertikaikan.
Tengku Zafrul boleh dikatakan berada di tempat yang betul ketika ini untuk beliau berpaut, lebih-lebih lagi UMNO juga sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Namun kedudukannya sebagai Ahli Dewan Negara yang tempohnya akan berakhir hujung tahun depan iaitu sebelum penggal Parlimen Kerajaan Perpaduan berakhir, tidak cukup kuat untuk bertahan.
Beliau juga berhadapan masalah dengan kepimpinan UMNO negeri ekoran kritikannya terhadap mereka yang kononnya tidak bersama-sama kerajaan dalam pembangunan negeri.
Atas alasan itu beliau melepaskan jawatan Bendahari UMNO negeri April lalu, sekali gus mewujudkan hubungan tidak selesa dengan kepemimpinan parti di peringkat negeri.
Demi masa depan politiknya, Tengku Zafrul perlu mencari hala tuju baharu supaya kedudukan beliau di dalam Kabinet terjamin. Dengan rekod yang baik sebagai menteri, Tengku Zafrul dilihat sebagai aset yang berharga kepada Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengesahkan sudah ada perbincangan awal antara Tengku Zafrul dengan PKR untuk menyertai parti itu.
Beliau juga dikatakan antara calon Menteri Besar Selangor. Namun kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) manakah yang selamat untuk beliau? Dan apakah penyertaannya dalam PKR akan memberi bonus kepada beliau?.
Rasa tidak puas hati pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap spekulasi melibatkan Tengku Zafrul itu memang ada asasnya kerana kelihatan tidak manis berlaku tindakan mencuri ahli sesama komponen dalam parti yang sama.
Tindakan Tengku Zafrul itu jika betul, disifatkan sebagai pengkhianatan kepada parti yang membawa masuk beliau ke dalam politik, penting diri sendiri dan musang berbulu ayam.
Apapun perkembangannya selepas ini, imej Tengku Zafrul sudah rosak dalam UMNO dan beliau perlu mencari dahan yang lebih kukuh untuk berpaut. – UTUSAN
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan