
Umat Islam, Kristian mampu cipta dunia, negara lebih baik
December 25, 2024
KUALA LUMPUR: PAS percaya penggemblengan kekuatan moral antara dua komuniti agama terbesar di negara ini, Islam dan Kristian, mampu melahirkan masyarakat lebih berkualiti dan bermoral.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS meraikan dan menyambut baik aspek pengayaan pengalaman itu dan kesan positifnya ke arah pembinaan masyarakat Malaysia.
Beliau yakin masyarakat yang lebih berkualiti dan bermoral bersandarkan nilai-nilai keagamaan luhur dan suci dapat dibina.
“Dengan latar belakang akar agama Ibrahimiyyah yang sama, PAS percaya umat Islam dan penganut Kristian mempunyai banyak persamaan, baik dari segi asas kepercayaan mahupun amalan.
“(Ia) mampu menyumbang kepada penciptaan negara yang lebih baik,” ujarnya menyenaraikan antara persamaan yang bertujuan membentuk watak manusia baik serta berguna kepada diri sendiri dan juga masyarakat.
Iaitu kepercayaan monoteisme, perkongsian para Nabi dan Rasul, kedudukan mulia Maryam, kehidupan selepas mati serta balasan syurga dan neraka, amalan berpuasa dan keunggulan sedekah.
“PAS juga percaya dua komuniti agama terbesar ini mampu memainkan peranan besar ke arah melahirkan dunia yang lebih aman dan bebas daripada keruntuhan akhlak, peperangan, kezaliman, kebencian, kelaparan dan ketidakadilan untuk semua orang, kelompok dan rantau,” ujarnya.
Menerusi kenyataan beliau, Takiyuddin turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian di Malaysia dengan harapan sambutan tahun ini berjalan dengan selamat dan lancar sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.
“Sebagai komuniti agama ketiga terbesar di negara ini, sambutan hari kebesaran penganut Kristian adalah sebahagian penting budaya besar Malaysia yang menambah kepada warna-warni pengalaman hidup rakyat.
“(Juga) menyumbang kepada pembentukan jati diri masyarakat yang lebih matang, saling menghormati serta bertimbang rasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan