UPM: PAS Selangor junjung kasih titah Sultan Selangor
December 1, 2024
SHAH ALAM: PAS Selangor menjunjung kasih Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas titah jelas mengenai cadangan penukaran nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, Sultan Selangor selaku Canselor UPM menegaskan bahawa cadangan itu tidak dirujuk terlebih dahulu kepada baginda atau Lembaga Pentadbir Universiti Putra Malaysia.
Menurutnya, Baginda turut bertitah bahawa nama Universiti Putra Malaysia harus dikekalkan kerana ia melambangkan inspirasi ‘Pertanian Untuk Rakyat’ yang dilancarkan dengan penuh makna.
“Kami berpendirian bahawa mana-mana cadangan yang melibatkan institusi pendidikan tinggi perlu dirunding dan diperhalusi dengan teliti serta mengambil kira semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau mengulas titah tersebut yang berbangkit dari cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Zurk turut berkata bahawa UPM mempunyai sejarah panjang dan penting.
Justeru menurutnya, sebarang perubahan besar seperti penukaran nama tidak seharusnya dibuat berdasarkan keputusan individu atau kementerian semata-mata, tetapi perlu mendapat persetujuan pihak berkenaan, terutama dari segi nilai sejarah dan kepentingan kepada negara serta rakyat.
Katanya, nama ‘Universiti Putra Malaysia’ bukan sahaja menggambarkan sebuah institusi akademik, tetapi juga mencerminkan identiti dan matlamat utama universiti itu dalam memajukan sektor pertanian untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Nama ini telah diterima masyarakat serta mempunyai makna mendalam dalam usaha meningkatkan sektor pertanian negara. Oleh itu, adalah wajar ia kekal seperti yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, PAS Selangor menyeru agar sebarang cadangan atau keputusan besar yang melibatkan kepentingan rakyat dibincangkan secara telus dengan melibatkan semua pihak berkaitan serta selaras dengan prinsip tatakelola yang baik.
Zurk berkata komitmen PAS Selangor untuk terus menyokong usaha yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara tanpa mengira latar belakang politik atau individu tertentu. – HARAKAHDAILY 1/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan