Usah tergesa-gesa jual aset strategik negara



Usah tergesa-gesa jual aset strategik negara

Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB)
December 24, 2024


KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa supaya kerajaan mengambil pertimbangan sewajarnya untuk merungkai segala pertikaian yang dibangkitkan terhadap pengambilalihan Malaysian Airport Holdings Bhd (MAHB).

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, kerajaan juga dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa menjual aset strategik negara tanpa pertimbangan yang teliti dan mendalam.

“Pertikaian terhadap pengambilalihan ini bukan sahaja tentang nilaian jualan saham yang dianggap lebih rendah daripada harga sepatutnya ditawarkan, bahkan juga prospek positif masa depan MAHB juga wajar diambil kira.

“Hal yang demikian termasuklah soal pemanjangan konsesi MAHB untuk perjanjian operasi (OA) pengendalian 39 lapangan terbang daripada 2034 sehingga 11 Februari 2069 serta pembesaran kapasiti KLIA hampir sekali ganda daripada 75 juta penumpang ketika ini.

“Apakah kesemua ini berada dalam radar pertimbangan yang kritikal daripada Kerajaan? Dewan Ulamak PAS Pusat tegas mengharapkan kerajaan tidak bertindak semberono dalam hal ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu berkata, pertembungan pendapat yang turut disuarakan sebahagian Ahli Lembaga Pengarah MAHB kini turut menimbulkan keraguan ramai terhadap justifikasi sebenar kerajaan dalam konteks pengambilalihan MAHB.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Dewan Ulamak PAS Pusat juga mengharapkan agar langkah pengambilalihan MAHB itu kembali dipertimbangkan sebelum tarikh tamat 8 Januari tahun hadapan.

“Sebaiknya ia dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum tindakan lanjut diambil.

“Bahkan, apa yang lebih mustahak adalah Kerajaan membentangkan penjelasan yang jelas, rasional serta transparen terhadap sebarang pertikaian yang dibangkitkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/12/2024

Ulasan