Video mangsa terselamat nahas pesawat Azerbaijan Airlines mengucap dua kalimah syahadah sentuh hati netizen
Video mangsa terselamat nahas pesawat Azerbaijan Airlines mengucap dua kalimah syahadah sentuh hati netizen
Oleh Suzalina Halid - Disember 27, 2024 @ 7:15am
Lelaki yang videonya mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum pesawat Azerbaijan Airlines dinaikinya terhempas di bandar Aktau, Kazakhstan tular di media sosial. - Foto tangkap layar media sosial
KUALA LUMPUR: Video memaparkan seorang penumpang penerbangan Azerbaijan Airlines J2-8243, yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan berdoa kepada Allah sebelum terselamat daripada nahas udara itu, menyentuh hati ramai pihak.
Video yang menjadi tular di media sosial itu membuktikan bahawa tiada yang mustahil dengan kuasa doa apabila mangsa itu selamat dalam nahas udara di Kazakhstan.
Beberapa saat sebelum pesawat itu terhempas, mangsa dilihat mengucap dua kalimah syahadah sebelum berlakunya nahas udara berkenaan.
Rakaman berdurasi seminit 29 saat itu merakam detik akhir yang mencemaskan sebelum pesawat berkenaan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Aktau, Kazakhstan semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 38 nyawa.
Menurut laporan berita, 25 orang pula berjaya diselamatkan.
Pesawat yang dalam perjalanan dari Azerbaijan ke Russia itu membawa 69 orang, termasuk 64 penumpang dan lima kru.
Dalam video berkenaan, lelaki berkenaan kelihatan tenang membaca dua kalimah syahadah dan mengucapkan 'Allahu Akbar,' walaupun berdepan detik genting.
Video itu dipercayai dirakam untuk isterinya, yang turut melihatkan situasi getir apabila topeng oksigen kuning tergantung dari siling dan tanda tali pinggang keselamatan berkelip.
Dalam klip lain, lelaki berkenaan dilihat berjalan keluar dari pesawat dan menunjukkan isyarat tangan OK.
Beliau hanya mengalami calar kecil pada muka.
Situasi luar biasa itu sekali gus menyebabkan ramai meluahkan rasa syukur kepada perlindungan Allah.
Rakaman insiden menunjukkan pesawat itu terbakar, disusuli asap tebal hitam memenuhi ruang udara, sementara penumpang yang cedera, pula dilihat berlumuran darah, dilihat keluar dari badan pesawat berkenaan.
Ulasan
Catat Ulasan