Wanita ditahan kerana bakar motor
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi - Disember 27, 2024 @ 7:55am
Motosikal yang dibakar seorang wanita di Jalan Masjid, Pokok Assam, Taiping. - Foto ihsan BOMBA
TAIPING: Polis menahan seorang wanita susulan satu video tular yang memaparkan seorang wanita membakar motosikal di Jalan Masjid, Pokok Assam, disini, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, berkata pada jam 7.30 petang polis berjaya menahan wanita terbabit yang berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 (khianat dengan api) Kanun Keseksaan.
"Terdahulu pada jam 4.27 petang polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang berkerja sebagai penarik kenderaan berhubung tindakan seorang wanita membakar sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam.
"Susulan laporan itu polis berjaya menahan wanita berkenaan dan motif kejadian berpunca dari tangkapan yang tidak berpuas hati apabila motosikal itu mahu ditarik.
"Difahamkan bayaran bulanan motosikal berkenaan tertunggak selama lebih 20 bulan dan motosikal itu dibeli atas nama anaknya," katanya dihubungi media.
Menurutnya lagi satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman 14 tahun penjara atau denda.
Tambahnya lagi wanita itu kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan dan proses reman akan dibuat pada pagi ini.
Terdahulu tular di media sosial apabila seorang wanita yang juga peniaga bertindak membakar sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam berhampiran sebuah gerai di Pokok Assam,Taiping.
Difahamkan kejadian berlaku setelah wanita itu enggan memberi kerjasama kepada penarik kenderaan yang ingin menarik motosikal terbabit kerana mengalami tunggakan selama 20 bulan.
Video berkenaan memaparkan wanita terbabit bertindak mencurahkan cecair dipercayai petrol sebelum membakarnya.
Ulasan
Catat Ulasan