Wujudkah integriti di zaman materialisme?
SETIAP institusi perlu menanam dan mengekalkan budaya integriti yang kukuh, melibatkan semua peringkat dari kepimpinan hingga pekerja bawahan.
Oleh Muhammad Azrul Hazerin Abdul Razak
12 Disember 2024, 8:00 am
STATISTIK berkaitan kesalahan integriti di Malaysia mencerminkan keadaan yang serius dan perlu diberi perhatian. Sehingga tahun 2023, negara mencatatkan kerugian besar akibat rasuah dan salah guna kuasa, dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM277 bilion dalam tempoh lima tahun, dari 2018 hingga 2023. Angka ini menunjukkan tahap pelanggaran integriti yang ketara di pelbagai sektor.
Satu tindakan drastik telah dilaksanakan apabila kerajaan telah melancarkan Pelan Strategi Anti-Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 sebagai langkah terkini untuk menangani isu integriti.
Pelan ini melibatkan pelbagai pendekatan seperti pendidikan, akauntabiliti awam, dan penguatkuasaan undang-undang dengan matlamat mengurangkan amalan rasuah serta meningkatkan budaya integriti di seluruh negara.
Isu salah laku integriti kini sering terpampang di dada akhbar dan telah menjadi berita yang biasa didengar. Berita seperti subsidi yang dicuri oleh warga asing dengan bantuan warga tempatan dan projek perolehan yang dicemari dengan side deal demi kepentingan peribadi adalah perkara lazim. Walaupun ramai telah didakwa dan dipenjara, kes-kes sebegini tetap berleluasa, seolah-olah sudah menjadi norma kehidupan.
Integriti diri adalah asas penting dalam keberkesanan sesebuah institusi, sama ada di sektor awam, swasta, atau NGO. Ia bukan sahaja merujuk kepada kejujuran individu, tetapi juga kepada budaya dan nilai-nilai yang dipegang oleh organisasi tersebut. Institusi dengan tahap integriti yang tinggi lebih mampu membina kepercayaan dan mencapai matlamatnya dengan lebih berkesan.
Makna Integriti Diri Untuk Dijiwai
Imam Al-Ghazali dalam karyanya yang terkenal Ihya Ulum al-Din menekankan bahawa integriti diri berkait rapat dengan ketulusan hati (ikhlas) dan kejujuran dalam tindakan. Baginya, seseorang Muslim harus selalu bertindak dengan niat yang murni dan tidak mementingkan diri sendiri, kerana Allah mengetahui segala sesuatu yang tersembunyi dalam hati manusia. Integriti diri menurut Al-Ghazali adalah kejujuran dan ketulusan dalam semua aspek kehidupan, termasuk ibadah dan muamalat iaitu hubungan sesama manusia.
Integriti diri boleh diertikan sebagai komitmen seseorang individu untuk sentiasa bertindak selaras dengan prinsip moral dan etika yang tinggi, tanpa mengira situasi atau tekanan yang dihadapi. Dalam konteks institusi, integriti diri melibatkan setiap anggota organisasi untuk memegang teguh nilai-nilai seperti kejujuran, ketelusan, dan tanggungjawab dalam setiap tindakan yang diambil. Individu yang berintegriti tidak akan sesekali tergoda untuk mengambil jalan pintas yang boleh merosakkan reputasi dirinya serta institusi yang diwakilinya.
Cabaran dalam Mengekalkan Integriti Diri
Integriti diri dalam institusi adalah aspek yang sangat penting dan harus dipelihara. Institusi berasaskan integriti tidak hanya dihormati tetapi juga dipercayai untuk melaksanakan tugas secara adil dan efektif. Kepercayaan ini adalah asas penting dalam hubungan dengan pihak berkepentingan seperti masyarakat, pelanggan, dan pihak berkuasa. Tanpa kepercayaan, usaha institusi sering diragui, menghalang pencapaian objektifnya. Ingat, kesalahan integriti bukan hanya rasuah semata-mata. Salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi juga adalah pelanggaran integriti yang serius.
Meskipun kepentingan integriti diri diakui oleh semua pihak, namun cabaran dalam mengekalkannya tetap wujud. Antara cabaran utama ialah tekanan untuk mencapai matlamat dengan cepat dan efisien, yang kadangkala mendorong individu atau organisasi untuk mengambil langkah-langkah yang kurang beretika. Sebagai contoh, dalam persekitaran korporat, tekanan untuk mencapai keuntungan yang tinggi boleh menyebabkan segelintir individu mengambil keputusan untuk mengabaikan peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
Selain itu, budaya kerja yang tidak menyokong integriti juga boleh menjadi halangan besar.
Jika sesebuah institusi tidak meletakkan integriti sebagai keutamaan, maka individu di dalamnya mungkin merasa kurang terdorong untuk mematuhi standard moral yang tinggi. Tambahan pula, sikap acuh tidak acuh terhadap pelanggaran integriti, atau lebih teruk lagi, membiarkan pelanggaran tersebut tanpa sebarang tindakan boleh menyebabkan budaya tidak beretika menular dalam institusi tersebut.
Walk the Talk
Untuk memastikan integriti diri terpelihara dalam sesebuah institusi, langkah-langkah tertentu perlu diambil. Pertama sekali, kepimpinan institusi harus menunjukkan contoh teladan yang baik. Pemimpin yang berintegriti akan menjadi sumber inspirasi kepada pekerja lain dan akan menetapkan nada untuk keseluruhan organisasi. Kepimpinan yang beretika akan memastikan bahawa integriti diutamakan dalam semua aspek pengurusan dan operasi. Walk the Talk! Inilah model yang paling penting bagi semua lapisan kepimpinan. Janganlah pula tindakan pekerja atau majikan diibaratkan sebagai peribahasa ‘paku dulang paku serpih’; apabila bersikap hipokrit atau tidak sedar akan kesalahan sendiri ketika mengkritik orang lain.
Kedua, institusi perlu mewujudkan kod etika yang jelas dan komprehensif. Kod etika ini harus merangkumi garis panduan tentang tingkah laku yang diharapkan daripada semua anggota organisasi dan harus dikuatkuasakan secara konsisten. Selain itu, program latihan berkala tentang kepentingan integriti dan etika juga perlu diadakan untuk memastikan semua pekerja sedar akan tanggungjawab mereka dalam mengekalkan integriti institusi. Integriti seharusnya menjadi amalan harian yang diterapkan dalam setiap aspek kehidupan kita kerana kita yakin bahawa akan tiba suatu hari di mana segala perbuatan kita akan diadili.
Ketiga, institusi perlu mempunyai mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan. Ini termasuklah mewujudkan saluran untuk melaporkan sebarang pelanggaran integriti secara rahsia dan selamat, serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar kod etika. Penguatkuasaan yang konsisten dan adil akan memberikan mesej yang jelas bahawa integriti adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
Keempat, tanamkan nilai integriti sejak kecil. Anak-anak perlu diajar membezakan antara yang betul dan salah, serta yang halal dan haram dalam setiap tindakan. Pepatah ‘bapa borek anak rintik’ menggambarkan betapa pentingnya contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa. Semoga amalan ini menjadi asas yang kukuh ketika anak-anak menghadapi dunia nyata, terutama apabila mereka memegang kuasa dan tanggungjawab di masa hadapan.
Akhirnya dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi, cabaran terhadap integriti semakin meningkat. Namun, untuk kekal relevan dan dipercayai, institusi tidak boleh mengabaikan pentingnya integriti. Integriti diri mencerminkan nilai-nilai murni dan merupakan asas kepada keberkesanan operasi serta hubungan dengan pihak berkepentingan.
Oleh itu, setiap institusi perlu menanam dan mengekalkan budaya integriti yang kukuh, melibatkan semua peringkat dari kepimpinan hingga pekerja bawahan. Integriti yang terjaga akan membantu institusi mencapai kejayaan yang mampan dan dihormati oleh masyarakat. Kepercayaan yang dibina melalui integriti adalah aset paling berharga, yang tidak dapat dibeli tetapi perlu dipupuk dengan kesedaran dan tanggungjawab. – UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Undang-Undang, Sultan Ahmad Shah Medical Centre@IIUM(SASMEC@IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.
Ulasan
Catat Ulasan