21 SJK Cina, Tamil terima peruntukan Kerajaan Kedah
January 8, 2025
ALOR SETAR: Sebanyak 21 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil di negeri ini telah menerima sumbangan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Kedah.
Pemberian peruntukan sebanyak RM150,000 itu membabitkan 15 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, dua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina serta empat SJK Tamil.
Masing-masing menerima antara RM5,000 hingga RM10,000 yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada majlis diadakan di Wisma Darul Aman, hari ini.
Pada ucapan Menteri Besar, beliau memaklumkan, pihaknya sentiasa memberi penekanan berkaitan pendidikan merentas semua bangsa, keturunan dan agama.
Semua proses pendidikan katanya, bertujuan melahirkan insan yang baik, warga negara bertanggungjawab, menjamin membina masyarakat lebih baik untuk masa ini dan masa depan.
“Tidak kiralah sekolah jenis apa asalkan memberi tumpuan kepada pendidikan melahirkan insan-insan yang baik, Kerajaan negeri akan memberi perhatian dan kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, usaha Kerajaan Negeri Kedah itu perlulah disokong demi mewujudkan suasana muhibbah lagi harmoni di negara ini.
“Saya mengambil kesempatan di sini, menyeru agar terus memelihara permuafakatan, demi kesejahteraan semua.
“Perlu bertimbang rasa untuk membuat tuntutan demi diri sendiri dan menjaga kumpulan-kumpulan lain yang juga membentuk masyarakat bersama-sama.
“Ambillah tanggungjawab untuk memelihara perpaduan kerana slogan yang kita pilih iaitu ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ memerlukan pengemblengan tenaga untuk menjayakannya,” tambahnya lagi.
Malah kata beliau, semua nikmat yang diperolehi diagihkan sama rata kepada 2.2 juta rakyat negeri ini.
Turut menyampaikan ucapan, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO, Wong Chia Zhen, selain dihadiri Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan wakil-wakil SJK Cina dan Tamil.
Dalam pada itu, Sanusi bersyukur kerana peruntukan RM300,000 untuk tahun 2024 kepada 41 buah SJK telah berjaya disalurkan. – HARAKAHDAILY 8/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan