
Al-Quran wahyu tidak tercabar, bukti keagungan Allah
January 1, 2025
KUALA LUMPUR: Al-Quran memiliki sifat ‘tahaddi’ atau mencabar, yang hingga kini tiada satu hujah pun dapat membuktikan ia salah atau palsu, meskipun pelbagai percubaan dilakukan, terutama oleh golongan Barat.
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, Al-Quran kekal sebagai wahyu suci yang tidak dapat dicabar.
“Rahim ibu adalah tempat yang kukuh dan aman untuk janin berkembang. Sebaik sahaja persenyawaan berlaku, janin mula berkembang melalui beberapa peringkat yang disebut dalam Al-Quran.
“Dari setitis mani, ia menjadi segumpal darah menyerupai lintah yang telah menghisap darah, kemudian menjadi seketul daging yang boleh dikunyah.
“Selepas itu, tulang-tulang terbentuk, diikuti dengan daging yang membalut tulang-tulang tersebut. Akhirnya, kulit menutupi daging, dan janin terbentuk menjadi insan yang sempurna,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.
Menurut beliau, hadis riwayat Imam Muslim menjelaskan bahawa proses pembentukan itu berlaku secara berperingkat dalam tempoh 120 hari atau empat bulan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu berkata, selepas itu, roh ditiupkan ke dalam janin, menjadikannya bernyawa.
“Oleh itu, ulama sepakat bahawa menggugurkan kandungan selepas tempoh ini adalah haram kecuali dalam keadaan darurat yang sangat mendesak,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa jika berlaku keguguran atau kematian janin selepas tempoh itu, beberapa pendapat ulama menyatakan janin perlu dimandikan dan disolatkan kerana telah memiliki roh.
Dalam surah al-Haj katanya, Allah menjelaskan bahawa ada yang mati dalam kandungan atau keguguran sebelum terbentuk, ada telah terbentuk tetapi mati, ada lahir dalam keadaan sempurna, dan ada dilahirkan dengan kekurangan seperti buta, tuli, atau bisu.
Tambahnya, ada juga lahir dan meninggal dunia dalam tempoh singkat, selain ads diberi umur panjang hingga 40 atau 99 tahun, yang menurutnya merupakan proses di luar rahim.
“Allah menjelaskan secara terperinci bahawa Dia mampu mencipta manusia daripada setitis mani, menentukan kematian mereka di dalam kandungan, setelah lahir, dalam keadaan sempurna, atau tidak sempurna.
“Akhirnya, ini menunjukkan bahawa manusia tidak mampu melakukan semua itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan