
‘DAP naik tocang’ keruhkan hubungan rakyat Malaysia
January 22, 2025
JOHOR BAHRU: Tindakan DAP yang sering mencampuri hal ehwal Islam di negara ini dilihat berisiko membawa kepada kekeruhan masyarakat dan negara keseluruhannya.
Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, parti itu seharusnya menjaga sensitiviti rakyat Malaysia yang mana majoritinya adalah terdiri daripada umat Islam.
“Ini merupakan suatu perkara yang tidak wajar, sangat tidak patut dan boleh membawa kepada kekeruhan dalam masyarakat dan negara Malaysia.
“Kita melihat akhir-akhir ini, DAP dan juga orang-orang yang seumpama mereka begitu berani dan semakin berani untuk mencabar Islam, menghina Islam, campur tangan urusan agama Islam.
“Sedangkan mereka sendiri memahami, mereka sendiri tahu. Cuma mereka buat-buat tak tahulah bahawa Islam adalah agama Persekutuan, Islam termaktub dalam Perlembagaan.
“Sepatutnya mereka menjaga sensitiviti umat Islam untuk memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum. Tetapi mereka langgar ‘semacam’ sahaja. Orang tua kata ‘dah naik tocang’,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau diminta untuk mengulas Minda Presiden PAS yang terkini ditulis Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Apabila DAP campur urusan Islam’ disiarkan semalam.
Tegas beliau, perkara itu jelas menunjukkan bahawa parti tersebut sebaliknya mahu memperjuangkan ideologi ‘sekularisme’ di negara ini.
“Ia jelas bagi kita bahawa DAP ni terus dengan dasar ‘sekular’, cita-cita negara ‘sekular’ dan mereka memang tidak mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan termasuk dalam kontrak sosial.
“Inilah suatu yang sangat menyedihkan. Satu demi satu perkara-perkara Islam, yang berkaitan dengan agama Islam mereka campur tangan dan tidak layak sama sekali mereka untuk menyebut perkara yang bukan urusan dan bidang mereka.
“Tambahan pula Nga Kor Ming, Lim Guan Eng dan Hannah Yeoh, mereka ini semua tidak mengucap dua kalimah syahadah. Itu bukan kepakaran mereka dan bukan urusan yang mereka boleh campur,” ujarnya.
Justeru, beliau menyarankan pihak yang berkaitan untuk ‘menegur’ segala tindakan yang telah dilakukan oleh parti itu.
“Sepatutnya Perdana Menteri, Menteri Agama dan lain-lain yang ada ‘autoriti’ wajib menegur dan memperbetulkan mereka, serta memberi amaran supaya mereka tidak sewenang-wenangnya dalam negara ini.
“Inilah yang perlu kita fahami dan semoga rakyat melihat tembelang DAP dan menolak mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan