
Hakim pertikai AGC tidak cabar kewujudan Titah Adendum
06 Januari 2025 12:26pm
Masa membaca: 2 minit
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkanny, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya. Gambar fail
PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, mempertikaikan ketiadaan surat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) atau kerajaan untuk mencabar permohonan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kewujudan Titah Adendum.
Ketika bersidang, Hakim, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril berkata, beliau terganggu apabila kurangnya komunikasi daripada responden untuk mempersoalkan kewujudan titah itu.
"Semasa prosiding lalu, kamu memberitahu panel, memerlukan masa untuk mengesahkan sama ada draf Adendum itu berasal dari pihak istana sendiri, namun di hadapan kami hari ini, ketika saya bersiap sedia untuk mendengar rayuan ini, apa yang dilihat ialah kenyataan daripada Istana Negara, saya terganggu.
“Tiada surat dari AGC atau responden lain yang mencabar Titah Adendum ini seolah-olah kamu mengakui kewujudan titah tersebut,” katanya.
Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya.
Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.
Artikel Berkaitan:Titah Adendum wujud, namun disembunyikan - Peguam Najib
Sebelum ini, Najib selaku pemohon, meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.
Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun, pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.
Prosiding permohonan itu ditangguhkan sementara dan dijangka bersambung pada jam 1 petang ini.
Ulasan
Catat Ulasan