Ikan tuna gergasi sebesar motosikal dijual RM1.3 juta




Ikan tuna gergasi sebesar motosikal dijual RM1.3 juta
Oleh Wartawan Luar Negara
5 Januari 2025, 6:18 pm

TOKYO: Pembida tertinggi di pasar ikan Tokyo membayar AS$1.3 juta (RM5.85 juta) untuk seekor ikan tuna gergasi, harga kedua tertinggi pernah dibayar pada lelongan tahunan berprestij sempena tahun baharu.

Restoran sushi berbintang Michelin, Kumpulan Onodera berkata, mereka membayar 207 juta yen untuk tuna sirip biru seberat 276 kilogram, menyamai saiz dan berat sebuah motosikal.

Ia merupakan harga kedua tertinggi yang dibayar pada lelongan pembukaan tahun ini di pasar ikan utama Tokyo sejak data mula dikumpul pada 1999.

Pembeli yang mempunya kuasa kini membayar harga tertinggi selama lima tahun berturut-turut, mencetus keterujaan dan menarik perhatian meluas media di Jepun.

“Tuna pertama adalah sesuatu yang bertujuan untuk membawa nasib baik. Hasrat kami ialah orang ramai akan dapat menikmati tuna ini dan memperoleh tahun yang indah,” kata Pegawai Onodera, Shinji Nagao kepada pemberita selepas lelongan itu.

Kumpulan Onodera membayar 114 juta yen (RM3.2 juta) untuk tuna teratas tahun lepas.

Tetapi harga lelongan tertinggi ialah 333.6 juta yen (RM9.5 juta) untuk tuna sirip biru seberat 278 kilogram pada 2019, ketika pasar ikan dipindahkan dari kawasan tradisionalnya di Tsukiji ke kemudahan moden berhapiran di Toyosu.

Bidaan rekod itu dibuat oleh Kiyoshi Kimura yang mengisytiharkan dirinya sebagai ‘Raja Tuna’ yang mengendalikan rangkaian restoran nasional, Sushi Zanmai.

Semasa pandemik Covid-19, ikan tuna tahun baharu hanya menguasai sebahagian kecil daripada harga tertinggi biasa kerana orang ramai tidak digalakkan makan di luar dengan restoran mempunyai operasi terhad ketika itu.-AFP

Ulasan