Indahnya bantu golongan OKU menunaikan umrah



Indahnya bantu golongan OKU menunaikan umrah
January 1, 2025

SEPANG: Kekurangan kemampuan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk mengerjakan ibadah umrah menarik perhatian Mantop Travel and Tours (Mantop Travel) untuk membantu golongan tersebut.

Pengerusinya, Mohd Zaidy Abdul Talib berkata, pihaknya telah memilih Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS (LKKSP) sebagai rakan strategik bagi merealisasikan perkara itu.

“Misi kita adalah untuk membawa seramai mungkin umat Islam di Malaysia ini untuk menunaikan umrah. Namun kita melihat terdapat kelompongan dan kurangnya dari segi kemampuan orang yang kurang upaya ini untuk pergi.

“Maka kita telah bertemu dengan rakan strategik kita iaitu Lajnah Kebajikan PAS Pusat kerana di bawah mereka ini ada golongan OKU,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyantuni seramai 44 peserta Umrah Prihatin Mahabbah anjuran LKKSP yang bertolak ke Jeddah bagi mengerjakan ibadah berkenaan, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi LKKSP, Dr Rosni Adam; Setiausaha Agung LKKSP, Ustaz Ahmad Abdullah Sanek dan Ahli Lembaga Pengarah Mantop Travel, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin.

Beliau turut meluahkan rasa syukur di atas kejayaan pihaknya yang pertama kali membawa golongan tersebut menunaikan ibadah umrah.

“Ini adalah secara khususnya kali pertama kerana sebelum ini program travel kita adalah mesra orang kurang upaya seperti dialisis, tidak boleh berjalan. Kita raikan mereka dengan kita menyediakan kemudahan-kemudahan.

“Ini kali pertama yang khusus memang kita bawa orang kurang upaya menunaikan umrah. Saya bersyukur teramat sangat untuk membawa seramai mungkin golongan ini.

“Kita nampak makin lama kita semakin berjaya untuk mencapai misi tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/1/2025

Ulasan