Kekal hubungan baik selepas cerai




Kekal hubungan baik selepas cerai
Oleh ROSLAH OTHMAN
18 Januari 2025, 8:15 am

Perceraian ibu bapa adalah pengalaman yang sukar difahami, terutama ketika anak-anak masih kecil.

Pada usia itu, mereka mungkin tidak memahami sepenuhnya apa yang berlaku .

Kekeliruan sering timbul mengapa ibu bapa tidak lagi tinggal bersama, rasa kehilangan kasih sayang dan keakraban antara ibu dan bapa.

Setelah dewasa, anak-anak mulai memahami yang perpisahan ibu bapa mungkin berpunca daripada masalah yang rumit seperti tiada sefahaman, masalah kewangan, curang dan lain-lain.

Dalam menjalani kehidupan kadangkala anak-anak berusaha menyatukan kembali ibu bapa yang telah lama bercerai.

Ini mungkin didorong oleh keinginan untuk melihat kebahagiaan mereka kembali bersama dan membina semula keluarga yang hilang.

Namun, mereka juga menyedari hubungan ibu bapa tidak lagi dapat dipulihkan kerana sejarah lalu yang sukar.

Minggu ini saya kongsikan kisah anak-anak yang berusaha menyatukan semula kedua ibu bapa mereka yang hampir 10 tahun bercerai.

Pada pertemuan yang diaturkan baru-baru ini, Mazlina, (bukan nama sebenar) mengakui tujuan berkongsi kisah keluarganya sekadar untuk memberi inspirasi kepada orang lain.

Ini kerana walaupun kedua ibu bapa bercerai, mereka masih mengekalkan hubungan baik tetapi memilih untuk tidak kembali bersama.

“Apabila melihat kedua ibu bapa berkomunikasi secara baik selepas bercerai, kami mula berharap hubungan mereka dapat dipulihkan.

“Saya selalu membayangkan keluarga kami bersatu kembali seperti dahulu kerana tidak ada pertengkaran besar berlaku dan hubungan mereka baik-baik sahaja,” ujarnya.

Menurut Mazlina, sepanjang usaha menyatukan kembali kedua ibu bapa, timbul beberapa konflik antara keinginan untuk menyatukan keluarga dan menghormati keputusan mereka.

Menyambung cerita, kata Mazlina, sebagai anak sulung dia rasa bertanggungjawab untuk menyatukan kembali kedua ibu bapa.

Dia selalu percaya di sebalik perpisahan kedua ibu bapa selama sedekad, masih ada ruang untuk kasih sayang kembali bertaut.

Menyingkap kisah lalu katanya, semasa ibu bapanya bercerai dia tidak begitu memahami hal-hal orang dewasa.

Dia hanya berusia 15 tahun, manakala dua adik, Syam dan Danish masing-masing berusia 10 dan 8 tahun.

Selepas perceraian, mereka tiga beradik tinggal bersama ibu.

“Walaupun ibu ayah hidup berasingan, hubungan mereka tetap baik dan menjalankan tanggungjawab bersama terhadap saya dan adik-adik.

“Ibu dan ayah sentiasa membuat keputusan bersama seperti pendidikan, kesihatan atau apa sahaja melibatkan acara keluarga,” imbasnya.

Ketika itu, kata Mazlina, dia sering terfikir betapa bahagianya keluarga mereka suatu ketika dahulu.

Kata Mazlina, sepanjang tempoh itu dia dan adik-adik merancang beberapa kejutan untuk ibu bapa mereka.

Ini termasuk makan malam dan percutian singkat.

Walaupun tidak mudah, pertemuan itu menjadi titik permulaan kepada ibu bapa mereka untuk berbual secara terbuka dan lebih tenang.

Namun usaha untuk menyatukan mereka dalam ikatan perkahwinan masih tidak berjaya.

Menurut Mazlina, seiring kedewasaan dia mulai memahami bahawa perceraian bukanlah keputusan mudah.

“Kami sedar, meskipun hubungan mereka baik, tetapi tidak bermakna mereka ingin kembali bersama.

“Saya memahami yang kebahagiaan ibu ayah tidak semestinya berada dalam hubungan bersama.

“Saya dan adik-adik mula belajar menerima keadaan dan memberi tumpuan untuk mencipta kebahagiaan dalam hubungan kami sekeluarga,” katanya lagi.

Pengalaman Mazlina melalui perceraian ibu bapanya penuh dengan cabaran, tetapi dalam masa sama membentuknya menjadi individu lebih kuat dan memahami.

Walaupun keinginan menyatukan kembali keluarga sentiasa ada, Mazlina sedar yang kebahagiaan ibu bapa mereka adalah lebih penting.

Kata Mazlina, kedua ibu bapa mereka mungkin telah menemukan kebahagiaan , ketenangan dan kebebasan hidup secara berasingan dan tekanan hubungan masa lalu.

“Sebagai anak, mungkin agak sukar untuk memahami bagaimana mereka kelihatan baik bersama, tetapi tidak mahu kembali bersatu.

Namun perlahan-lahan kami belajar untuk menghormati keputusan ibu dan ayah untuk mengekalkan hubungan demi anak-anak tanpa perkahwinan,” ujarnya.

Melalui kisah kedua ibu bapanya, Mazlina dapat belajar tentang definisi kebahagiaan sebenar.

Katanya, kini kebahagiaan kedua ibu bapa lebih penting daripada usaha untuk menyatukan mereka.

Walaupun orang tuanya hidup berasingan tetapi tetap gembira dengan cara masing-masing.

“Ibu masih meneruskan kerjayanya dalam bidang perguruan, manakala ayah sibuk dengan urusan perniagaan.

“Syam dan Danish pula masing-masing masih menuntut di universiti,” katanya.

Mazlina pula kini sibuk dengan persediaan majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung pada hujung bulan depan.

Melalui perkongsian Mazlina, ternyata ibu bapa bercerai yang memilih mengekalkan hubungan baik akan memberi kesan positif kepada anak-anak.

Walaupun struktur keluarga mereka berubah, keharmonian ini membantu Mazlina dan adik-adiknya menyesuaikan diri serta lebih memahami erti hubungan yang matang dan bertanggungjawab.

Mengakhiri perbualan kata Mazlina, sekiranya ada anak-anak berkeinginan menyatukan kembali ibu bapa, tetapi tidak berjaya, mereka harus menerima dan menghormati keputusan tersebut.

Jodoh menurut Islam adalah salah satu perkara misteri, hanya Allah SWT yang mengetahui dan menentukan jodoh untuk setiap hambaNya.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir,”(Ar -Rum : 21)

Ulasan