Kerajaan diminta campur tangan isu tambang bas sekolah
Kerajaan diminta campur tangan isu tambang bas sekolah.-GAMBAR HIASAN
Oleh SAFINA RAMLI
9 Januari 2025, 6:50 am
GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Kementerian Pengangkutan campur tangan dengan tidak membiarkan kadar tambang bas sekolah naik bermula Februari nanti.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kenaikan tambang bas sekolah dalam masa yang terdekat ini tidak sesuai memandangkan rakyat berdepan pelbagai kenaikan kos pada masa sekarang.
“Kementerian Pengangkutan perlu siasat perkara ini kerana kita tidak mahu hanya satu pihak iaitu ibu bapa terbeban dengan kenaikan kos tambang bas (sekolah). Pada masa ini, berlaku peningkatan kos sara hidup. Jadi, amat wajar kiranya kenaikan tambang bas ini ditangguhkan dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) dilaporkan tetap dengan pendirian mereka iaitu menaikkan kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan 2025 mulai Februari ini.
Kadar kenaikan tambang bas sekolah antara RM5 hingga RM10 seorang itu bagaimanapun bergantung kepada persetujuan bersama antara pengusaha bas dan ibu bapa
Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan pula berkata, sebarang kenaikan tambang bas sekolah harus melibatkan perbincangan semua pihak berkepentingan termasuk kelulusan dari kerajaan demi memastikan tidak dibuat secara sebelah pihak.
Beliau menggesa perbincangan empat penjuru yang melibatkan pengurusan sekolah, pengusaha bas sekolah, Jabatan Pendidikan dan ibu bapa dilakukan.
“Jika mahu naik sekalipun, kenaikan tambang seharusnya tidak melebihi 10 peratus dengan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan pelajar.
“Bagaimanapun, pengusaha bas sekolah wajar diberi kelonggaran oleh kerajaan untuk membuat pendapatan tambahan kerana ia secara tidak langsung dapat bantu melenyapkan isu kenaikan tambang ini pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, ibu bapa terkejut dengan keputusan itu kerana kenaikan tambang bas hanya akan membebankan mereka terutama yang berpendapatan rendah.
Di Lipis, seorang penjawat awam, Halimatun Saadiah Othman, 43, berkata, dia tiada pilihan dan perlu menggunakan perkhidmatan bas sekolah untuk tiga anaknya berusia 10 tahun hingga 16 tahun.
Katanya, sebelum ini dia membelanjakan kira-kira RM350 setiap bulan untuk tambang bas sekolah.
“Saya bekerja waktu pejabat pukul 8 pagi hingga 5 petang, jadi tiada masa untuk menghantar dan mengambil anak sekolah. Tambahan pula suami bekerja jauh di Johor menyebabkan kami perlu menggunakan perkhidmatan bas sekolah untuk anak-anak,” katanya.
Pekerja swasta, Syahir Khalil, 40, pula berkata, kenaikan kadar tambang membebankan ibu bapa khususnya yang mempunyai ramai anak.
“Kita memahami harga minyak tidak menentu serta kos penyelenggaraan kenderaan menjadi antara sebab kenaikan tambang bas sekolah. Sehingga kini pihak pengurusan bas sekolah belum memaklumkan sebarang kenaikan harga tambang dan saya andai berlaku kenaikan sekali pun saya harap tidak terlalu tinggi,” katanya.
Seorang ibu tunggal di Sungai Petani, Siti Khadijah Hamid, 35, berkata, dia mempunyai tiga orang anak bersekolah dengan seorang menggunakan bas sekolah dari rumah sewanya di Taman Ria Jaya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kiara.
“Tambang bas sekolah untuk anak saya, murid darjah empat adalah RM60. Jika dinaikkan kadar bas sekolah untuk sesi 2025 ini, saya perlu tambah kos sedangkan pendapatan sebagai pembantu kedai makan tidak seberapa dan habis digunakan untuk perbelanjaan harian selain membayar sewa rumah dan bil utiliti,” katanya.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Cempaka Nilai, Mohd Nizam Aziz pula berkata, jika kadar tambang bas sekolah naik, pihak pengusaha perlu memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan baik terutama melibatkan aspek keselamatan.
“Apabila tambang naik, pengusaha perlu memastikan perkhidmatan van atau bas sekolah mereka dalam keadaan baik bagi menjamin keselamatan pelajar, berbaloi dengan kadar bayaran dikenakan kepada ibu bapa,” katanya.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan