Kesihatan mata bermula dari rumah
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
18 Januari 2025, 6:30 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Program pengesahan dan pembetulan ketajaman penglihatan mata kepada murid Tahun 1 daripada keluarga B40 serta M40, dilaporkan akan diperluas ke seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini berkata, inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) itu amat penting bagi memastikan isu kesihatan penglihatan murid terus diberi keutamaan.
Lebih-lebih lagi program itu adalah sebagai antara jalan penyelesaian kepada masalah pembelajaran dalam kalangan anak-anak di sekolah.
Menariknya Kementerian Kesihatan turut menetapkan sasaran pengesanan ketajaman penglihatan melebihi lima peratus daripada jumlah murid yang diperiksa berbanding ketika ini pada kadar sekitar 3.5 peratus sebelum ini.
Indahnya negara bertuah ini kerana kita ada kementerian yang amat prihatin dengan kesihatan generasi muda sebagai generasi pewaris negara ini.
Isu ini sememangnya menjadi keutamaan berikutan kementerian berkenaan menyedari ramai dalam kalangan murid negara ini, yang tidak memakai cermin mata bukan tidak tahu, tetapi akibat masalah kekangan kewangan.
Ramai sebenarnya yang prihatin dengan kesihatan mata si cilik ini, namun tidak ramai yang menzahirkan bantuan.
Tambahan lagi, pemeriksaan dan peralatan untuk kesihatan mata ini bukanlah murah kosnya.
Ia bukan sekadar dengan membeli cermin mata, sebaliknya ia mengenai kos penyelenggaraan mata yang antara lain memerlukan pemeriksaan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memastikan kesihatan pancaindera itu terpelihara.
Semakin bertambah usia, bukan sahaja power cermin mata itu perlu dipertingkatkan, tetapi cermin mata itu juga perlu ditukar bagi memastikan ia sesuai dengan usia kanak-kanak berkenaan.
Itu belum lagi kes cermin mata anak yang hilang, rosak dan pecah yang perlu diganti baharu.
Memikirkan isu kos inilah yang menyebabkan kadangkala ada segelintir ibu bapa yang cuba ambil mudah soal berkenaan.
Mereka tahu masalah mata mengundang masalah pembelajaran anak-anak tetapi dek kerana kos, terpaksalah dahulukan perkara lain yang lebih penting.
Justeru kerjasama kementerian dalam melaksanakan projek rintis pengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma ini seharusnya disokong.
Pada pihak rakyat khususnya ibu bapa, kenalah ingat kesihatan mata itu bermula dari rumah dan ia boleh dielakkan dengan memastikan anak menggunakan masa skrin dengan bijak selain melengkapkan anak mereka dengan pemakanan sihat kerana ia turut menyumbang kepada kesihatan mata.
Kalau kerajaan sedia membantu, zahirkanlah sokongan kita sebagai ibu bapa pula.
Nor Afzan Mohamad Yusof adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia. – UTUSAN

Ulasan
Catat Ulasan