
Konsert hedonism, gejala anak muda liar serta ketakpedulian penguasa!
January 3, 2025
SETAHUN dua ini tanah watan sentiasa geger dengan isu pelbagai konsert digalangi sama ada artis dalam atau luar negara termasuk kumpulan Coldplay dari tanah Inggeris yang datang menghiburkan rakyat ini. Konsert kumpulan 1975 di Sepang yang mencetus kontroversi bercium mulut sesama jantan di atas pentas, juga kumpulan Black Pink mewakili keghairahan generasi anak muda kepada budaya Kpop. Puluhan konsert pelbagai genre digalangi tanpa apa-apa sekatan daripada penguasa tolol negara ini. Lihat sahaja konsert Bruno Mars semasa bulan kelahiran ar-Rasul SAW tahun lepas. Ambang awal tahun baru 2025 negara sekali lagi membekap dada kehairanan melihat obsesi rakyat ini kepada budaya hedonism apabila pihak polis melaporkan empat orang meninggal dunia akibat terlibat dengan konsert di Bandar Sunway.
Menurut pihak polis, mereka telah menerima empat laporan polis daripada PPUM berkaitan dengan kematian dua lelaki dan dua wanita tempatan. Hasil siasatan polis, keempat mangsa telah menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway. Post-mortem telah dijalankan tetapi masih menunggu keputusan toksikologi. Kesemua mangsa berumur dalam lingkungan 20 sehingga 40 tahun dan pemeriksaan ke atas semua mangsa yang terkorban tiada kecederaan luaran. Isu ini pastilah dimainkan dengan sensasi menggila jika berlaku di Kelantan, Terengganu atau Kedah! Konsert ini mungkin mahal bagi anak-anak B40, dengan kadar tiket RM300 ke RM500. Euforia kegembiraan menyambut tahun baru 2025 dengan persembahan nyanyian dan tarian telah mengundang padah. Cukup kontradik dengan sambutan ambang tahun baru di Terengganu dan Kelantan.
Kegilaan berhibur tanpa batasan, berpesta pora tidak peduli dengan kesakitan dan tangisan di Gaza bukan sahaja melanda tanah watan kita dengan obsesi pemimpin utama negara dengan hiburan namun menjangkiti negara Arab terutama Arab Saudi yang kononnya penjaga dua tanah haram! Cukup kontradik dan memalukan, sedangkan di seluruh belahan dunia pelbagai aksi dan acara diadakan untuk memperingati kelahiran kekasih belahan jiwa umat Islam. Konsert dianjurkan seolah-olah mengalih perhatian daripada peta luka umat iaitu Palestine, juga seolah-olah bulan Rejab yang kita sedang lalui sebagai gerbang ke bulan Ramadhan hanyalah sekadar bulan acara tanpa penghayatan. Konsert hedonism tetap akan dilangsungkan walaupun diprotes oleh umat Islam yang peduli mengenai masa depan ummah. Bahkan datang dengan sifat membusung dada melanggar perintah Allah dan peringatan ar-Rasul SAW. Sangat malang umat Islam di akhir zaman diperintah oleh pemimpin yang bebal dan kontang nurani manusiawi.
Hiburan boleh sahaja menjadi halal jika dicerakin dengan baik elemen halal dan haram. Lebih tujuh dekad PAS berjuang di tanah leluhur ini, menentang hiburan maksiat dan kemungkaran adalah pakej perjuangan parti Islam tertua ini. Parti pak lebai ini menguasai empat buah kerajaan negeri, tidak membataskan rakyat hanya dalam program di masjid dan surau sahaja (kes terbaru, penganjur konsert akan dikenakan saman kerana melanggar syarat di bawah Enakmen Kawalan Hiburan). Terengganu contohnya sejak 2018 PAS mengambil alih, kerajaan dengan artis dan seniman juga boleh berpartisipasi dalam pelbagai program hiburan. Di antara anak seni yang pernah diundang adalah seperti Datuk Ramli Sarip, Yantzen, Zuar XPDC, Ali Terra Rossa, Ijam Medicine, Heliza Helmi dan puluhan anak seni yang lain. PAS bukanlah taliban seperti yang sering dimomokkan oleh DAP kepada pengundi dan pentaksub mereka.
Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista. PAS berbeda dengan parti konvensional yang lain. Harakatul ummah ini menyeru kepada cara hidup Islam yang syumul. Jika hendak berhibur dengan hiburan patuh Syariah, kerana seni berkiblat akan menatijahkan kepatuhan kepada Allah kerana percaya akan hari akhirat. Berbeda
penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dan akhlak tiada dalam neraca pemikiran sekular pragmatis mereka.
Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah menggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, perdagangan dan sebagainya sebagai method dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.
Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada ‘sensate culture’, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.
Masyarakat Muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Cukuplah dengan budaya hiburan melampau yang telah memusnahkan jati diri seorang Muslim, hiburan hedonism menjadi senjata musuh untuk melumpuhkan sesebuah bangsa. Kita semua sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah di kalangan anak muda parallel dengan membuncahnya aktiviti seronok santai, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda. Pemuda Islam wajib tampil di barisan hadapan untuk mengembalikan budaya menentang ‘sensate culture’ yang kembali membiak seperti dekad 1980-an dan 90-an. Penguasa kita tidak peduli kerana mereka juga lahir daripada ladang ternak hedonism, makin lalai rakyat maka makin kuat hegemoni kuasa mereka!
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 2/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan