Laporan polis terhadap saya



Laporan polis terhadap saya
January 5, 2025

BERPULUH-puluh wartawan menghubungi saya untuk dapatkan ulasan mengenai khabarnya akan ada laporan polis oleh Pemuda PAN terhadap saya berhubung satu hantaran saya mengenai ‘ayam jantan, ayam betina dan biawak’ dalam akaun facebook ini dua hari lepas.

Saya secara peribadi sangat kesal dengan langkah Pemuda PAN ini. Pertama sekali kekesalan yang paling utama ialah pemilihan gambar yang kurang sesuai. Sepatutnya jika mahu diletakkan gambar saya, pilihlah gambar yang sesuai dan dalam keadaan bersedia untuk difoto serta bukan reaksi wajah seperti itu. Langkah itu kurang profesional dan menjadikan reaksi wajah saya agak ‘kurang hensem’ walaupun saya sedar gambar lain pun bukanlah ‘hensem sangat’, tetapi paling tidak gambar yang profesional. Itulah kekesalan paling utama.

Kekesalan kedua ialah cubaan mengaitkan nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di dalam isu ini. Padahal secara jelas tidak ada mana-mana bahagian di dalam titah baginda yang melarang himpunan 6 Januari. Pihak yang sangat bimbang dan membidas Umno ekoran penyertaan bersama PAS ialah Lim Guan Eng. Lihat pautan (https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/12/31/guan-eng-bidas-umno-bersama-pas-dalam-solidariti-untuk-najib/ ).

Walaupun pimpinan Umno membalas kenyataan Lim Guan Eng ini tetapi akhirnya apa yang didesak oleh Lim Guan Eng dilaksanakan oleh Umno dengan kononnya berpandukan titah Agong yang mereka sendiri pilih untuk memahami bukan dengan maksud yang sebenar. Sedangkan titah adendum yang terang jelas itu mereka memilih untuk tidak perjuangkan. Inilah pelik dan ajaibnya Umno.

Nasib baiklah Pemuda Umno mengisytihar bahawa mereka akan hadir dan ini membuktikan mereka juga memahami kehadiran di himpunan itu bukanlah bererti derhaka kepada Agong. Persoalannya, kenapakah pemahaman Pemuda Umno berbeza dengan pemahaman Presiden dan Setiausaha Agung Umno?

Jadi jelas, YDPA tiada kaitan dengan hantaran saya itu. Walaupun demikian, selaku rakyat Malaysia, Pemuda PAN berhak untuk membuat laporan polis, dan saya sebagai warganegara Malaysia, tentulah bersiap sedia untuk disiasat sebagaimana proses keadilan di Malaysia.

Ada beberapa peguam yang mencadangkan saya menyaman Pemuda PAN atas ayat yang jelas ‘Pemuda Amanah Nasional memandang serius kenyataan Ahmad Fadhli Shaari yang dianggap menghina instituti diraja’ sedangkan tiada mana-mana bahagian dalam hantaran saya itu yang diniatkan dan boleh dianggap demikian. Saya katakan, melainkan dengan pihak-pihak tertentu, saya beranggapan – sehingga sekarang – kawan-kawan dalam dunia politik ini tidaklah perlu sampai ke mahkamah. Tambahan pula, mereka di dalam PAN juga sahabat-sahabat saya di dalam PAS dulu. Bagaimanapun, saya juga perlu mempertimbangkan tindakan seterusnya berdasarkan perkembangan-perkembangan yang akan berlaku.

Laporan polis ini juga membuktikan Pemuda PAN masih lagi ada, dan setidak-tidaknya ada aktiviti yang boleh dilaporkan di dalam buku mesyuarat tahunan. Lagipun, jika tidak pertahankan DAP, apa lagi yang boleh mereka lakukan?

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat
5 Januari 2025 – HARAKAHDAILY 5/1/2025

Ulasan