Lebih baik kembangkan ETS daripada laksana HSR
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
13 Januari 2025, 7:20 am
ISU Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura timbul semula selepas lawatan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong ke Malaysia baru-baru ini.
Singapura terbuka untuk menerima cadangan baharu. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan hanya akan menerima projek mega itu jika ia membabitkan penyertaan sektor swasta sepenuhnya.
Beliau berkata, kerajaan menangguhkan projek mega kerana Putrajaya berhadapan beberapa kekangan, termasuk isu demi kepentingan rakyat.
“Jadi, projek mega terpaksa ditangguhkan kerana komitmen kita untuk menyelesaikan beberapa isu tertunggak seperti infrastruktur asas, pendidikan dan kesihatan,” katanya sambil menambah kerajaan sedia menerima cadangan swasta.
Projek yang akan menghubungkan Republik itu dan Kuala Lumpur dijangka menelan belanja RM100 bilion dan akan menjadi projek infrastruktur tunggal termahal dalam sejarah negara.
Patutkan negara terbabit dalam projek yang sebegitu mahal pada masa ini? Tidak adakah keutamaan lain yang perlu diberikan perhatian berbanding HSR? Ini tren yang akan membawa golongan tertentu antara dua lokasi.
Terdapat cadangan supaya projek ini diteruskan dan kerajaan diminta “membantu”. Jumlah penduduk Singapura adalah hampir enam juta manakala jumlah manusia di Lembah Klang adalah sembilan juta. Jadi adakah projek ini boleh berdaya maju?
Ada yang membandingkan HSR dengan projek sama seperti Shanghai, London, Jakarta-Bandung, dan Tokyo bagi menegaskan kenapa kerajaan perlu melaksanakan HSR di Malaysia.
Harus diingat projek HSR di banyak negara didorong oleh faktor ekonomi dan pergerakan manusia yang ramai dan bukan kerana keinginan mana-mana pihak mahu meraih keuntungan dalam melaksanakan projek.
Di China, negara dengan landasan HSR terpanjang di dunia, dilaporkan membawa 4.08 bilion penumpang pada tahun lalu, iaitu kira-kira hampir tiga kali ganda lebih besar daripada keseluruhan penduduk negara itu yang berjumlah 1.44 bilion.
Bandar besar seperti Shanghai saja ada hampir 25 juta penduduk. Beijing kira-kira 22 juta, Shanghai hampir 30 juta dan Chongqing 30 juta.
Jepun antara negara yang paling terkenal dengan kereta api laju di Asia sebelum kebangkitan China. Bandar Tokyo dihubungkan ke sebahagian besar Jepun dengan HSR. Tetapi jumlah penduduk Tokyo saja adalah 37 juta orang atau lebih besar daripada Malaysia bersama dengan warga asing sah dan tidak sah.
Daripada HSR, kerajaan harus replicate kejayaan koc perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang terbukti berjaya. ETS dijangka membawa lebih 7.5 juta penumpang setiap tahun. Tren baharu diperoleh menerusi skim pajakan membabitkan RM10 bilion.
Kenapa konsep ETS yang sudah berjaya ini tidak dipanjangkan ke selatan, bermula Seremban, Melaka dan Johor Bahru. Tengok saja jumlah kenderaan daripada Seremban ke Kuala Lumpur setiap hari. Begitu juga apabila ribuan orang ke Melaka pada hujung minggu.
HSR tidak boleh menjadi seperti janji bagaimana 1MDB akan membawa kemakmuran. Kerajaan harus melabur dalam infrastruktur yang diyakini akan berjaya dan bukan kerana keinginan mempunyai sesuatu yang orang lain ada. Kekadang kita inginkan sesuatu yang terlalu jauh daripada apa yang dapat kita berikan.
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd
Ulasan
Catat Ulasan