
‘Makin banyak dijawab, makin celaru’
January 13, 2025
ISU titah adendum telah membuka mata rakyat terhadap ketempangan dan kelemahan ketelusan kerajaan hari ini. Ketika rakyat mempersoalkan kedudukan sebenar titah adendum ini, pelbagai jawapan bercanggah muncul daripada para pemimpin kerajaan, namun tiada satu pun yang benar-benar menjawab persoalan utama yang dibangkitkan.
Mari kita lihat bagaimana respon yang diberikan oleh beberapa Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan dalam isu ini:
1. Menteri Komunikasi dan Digital.
Fahmi Fadzil menyatakan bahawa kerajaan tidak menyembunyikan titah adendum. Namun, apabila rakyat bertanya mengapa mengambil masa yang begitu lama untuk mengakui kewujudan titah tersebut, beliau menjawab,
“Seperti yang Perdana Menteri nyatakan di Parlimen sewaktu sesi PMQT (Soal Jawab Perdana Menteri), kita tertakluk kepada prinsip subjudis, maka kita akur dan patuh kepada prinsip itu dan proses di mahkamah itu diteruskan.”
Namun begitu, kita tertanya-tanya bagaimana dengan status adendum ini sebelum Najib Razak memohon untuk memulakan prosiding semakan kehakiman pada 3 Julai 2024? Sedangkan isu adendum ini telah mula didedahkan sejak Januari 2024.
2. Menteri Dalam Negeri.
Saifuddin Nasution dalam Parlimen menyatakan bahawa titah adendum ini hanyalah ‘hearsay’ (khabar angin) berdasarkan keputusan mahkamah. Namun, apabila Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan titah adendum tersebut, beliau pula menyatakan bahawa Jabatan Penjara tidak menerima apa-apa titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16.
3. Menteri Wilayah Persekutuan.
Apabila Setiausaha Politik Perdana Menteri meminta kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan Najib Razak, beliau memberikan jawapan ringkas, ‘Nanti, nanti, nanti.’ Namun, tidak sampai 24 jam kemudian, Zaliha mengeluarkan kenyataan bahawa butiran minit mesyuarat tersebut tidak akan didedahkan.
4. Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) JPM.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyatakan bahawa pihaknya tidak pernah menerima titah adendum tersebut walaupun mereka adalah urusetia kepada Mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.
Walaupun pelbagai kenyataan telah dikeluarkan oleh beberapa pemimpin PH, kesemuanya lebih menyerlahkan percanggahan, bukan menyelesaikan dua persoalan besar yang masih belum terjawab dan menjadi perhatian rakyat, iaitu:
Siapakah yang menerima titah adendum tersebut? Siapakah yang membuat keputusan untuk menyembunyikannya?
Dua persoalan utama inilah yang perlu dijawab oleh pihak kerajaan. Namun begitu, jawapan mereka hanya merapu dan tidak langsung menyentuh persoalan tersebut.
Sebaliknya, apa yang sering dilakukan oleh mereka adalah menyalahkan pembangkang dan menuduh pihak pembangkang sengaja menunggang isu Najib Razak semata-mata.
Inilah level sebenar kerajaan hari ini, sebuah kerajaan yang gagal, celaru, dan Kerajaan Penderhaka.
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA – HARAKAHDAILY 13/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan