
Mampu beri impak positif kepada rakyat, ekonomi

01 Januari 2025 10:20am
Masa membaca: 2 minit
SHAH ALAM - Rakyat dan ekonomi Malaysia dijangka akan menerima impak positif daripada pelaksanaan perkara serta peristiwa penting yang bakal berlaku pada 2025.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peningkatan jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), gaji minimum dan juga penyasaran subsidi RON95 antara faktor yang akan mendorong kepada situasi itu.
"Keadaan ini akan memastikan rakyat dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik apabila menerima gaji lebih bermaruah dan bantuan kerajaan masih lagi kekal dapat diterima.
"Namun, ada juga beberapa faktor yang boleh mengekang impak positif ini seperti isu geopolitik melibatkan perang tarif Amerika Syarikat (AS) dan China, krisis Asia Barat dan perang Rusia-Ukraine.
"Tetapi, Malaysia kali ini lebih bersedia dengan keputusan menyertai pelbagai perjanjian perdagangan unilateral seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan BRICS," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, 12 perkara dan peristiwa penting bakal berlaku pada 2025 membabitkan kebajikan rakyat, ekonomi, keselamatan dan juga negara.
Antaranya ialah Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, platform media sosial wajib mempunyai lesen, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kembali selepas tujuh tahun dan STR serta SARA ditambah RM3 bilion lagi.
Bagaimanapun, terdapat perkara lain yang lebih mencabar malah beri kesan besar kepada rakyat seperti kenaikan tarif elektrik, penyasaran subsidi petrol RON95 dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, peluang Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN membolehkan negara memainkan peranan yang lebih aktif untuk meningkatkan kadar pelaburan ke negara ASEAN termasuk Malaysia.
Tambahnya, hubungan dua hala dengan pelbagai negara dagang juga perlu diteruskan bagi memastikan keadaan ekonomi negara kekal stabil.
"Inisiatif tersebut amat penting supaya kita tidak terlalu bergantung kepada negara dagang utama seperti AS dan China. Selain itu, kerajaan perlu berterusan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara kita yang berfokuskan kepada teknologi tinggi.
"Pemerkasaan dalam ekonomi digital juga wajib dilakukan di samping memastikan pembangunan modal insan diperhebatkan untuk meningkatkan jumlah pekerja berkemahiran tinggi dan sederhana," ujarnya.
Ulasan
Catat Ulasan