Mampukah gencatan senjata Israel-Hezbollah bertahan?



Mampukah gencatan senjata Israel-Hezbollah bertahan?
BEBERAPA rakyat Lubnan mengibarkan bendera Hezbollah di hadapan runtuhan bangunan di pinggir selatan Beirut, selepas gencatan senjata Israel dan Hezbollah berkuat kuasa pada 27 November lepas.- AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
5 Januari 2025, 8:01 am

BEIRUT: Gencatan senjata rapuh antara Israel dan kumpulan Hezbollah bertahan lebih sebulan, walaupun berlaku pelanggaran terhadap syarat perjanjian dalam tempoh yang ditetapkan.

Perjanjian yang dimeterai pada 27 November lalu, memerlukan Hezbollah menamatkan kehadiran pasukan bersenjatanya di selatan Lubnan.

Ia turut memberi Israel 60 hari untuk mengundurkan tentera serta menyerahkan kawalan kepada tentera Lubnan dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setakat ini, Israel hanya berundur dari dua bandar di selatan Lubnan iaitu Khiam dan Shamaa, serta terus menyerang pangkalan Hezbollah.

Hezbollah pula mengancam untuk menyambung pertempuran sekiranya Israel tidak menarik tentera mengikut tarikh ditetapkan.

Walaupun terdapat tuduhan pelanggaran gencatan senjata, penganalisis percaya perjanjian itu mungkin terus bertahan, sekali gus memberi harapan kepada ribuan keluarga yang melarikan diri untuk pulang ke rumah mereka.

“Perjanjian gencatan senjata ini tidak jelas dan boleh ditafsirkan dalam pelbagai cara,” kata penganalisis dari Institut Timur Tengah di Washington, Firas Maksad.

Beliau berkata, kelonggaran dalam gencatan senjata memberi peluang untuk ia terus bertahan walaupun menghadapi perubahan situasi, termasuk penggulingan Bashar al-Assad di Syria, yang berlaku beberapa hari selepas perjanjian dimeterai.

Dengan kejatuhan pemerintahan Assad, Hezbollah didakwa kehilangan laluan penting untuk menyeludup senjata dari Iran.

Sejak gencatan senjata, Hezbollah hampir sepenuhnya menghentikan tembakan roket dan dron ke Israel, sementara rejim masih melancarkan serangan udara secara berkala di kubu kumpulan itu, di selatan Lubnan dan Lembah Bekaa.

Lubnan menuduh Israel berulang kali melanggar perjanjian serta mengemukakan aduan kepada Majlis Keselamatan PBB minggu lalu, yang menyatakan terdapat 816 serangan darat dan udara rejim antara permulaan gencatan senjata dan 22 Disember.– AP

Ulasan