MASwings kini milik Sarawak


MASwings kini milik Sarawak
Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
14 Januari 2025, 10:47 am

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan MASwings kini sah milik kerajaan Sarawak.

Pengumuman tidak rasmi itu dibuat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas Majlis Amanat Perdana sempena ulang tahun kelapan beliau menerajui kerajaan Sarawak, semalam.

Abang Johari berkata, perjanjian pengambilalihan syarikat berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Berkenaan pengambil alihan MASwings, semuanya sudah beres (selesai),” katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak telah memperoleh MASwings pada harga yang dipersetujui, yang tidak didedahkannya.

Beliau berkata majlis menandatangani pengambilalihan itu dijangka akan diadakan dalam masa sebulan, kemungkinan besar di Kuching.

Ditanya mengenai nama baharu syarikat penerbangan itu, Abang Johari menjelaskan, ia akan diumumkan selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Pada bulan lalu, Abang Johari berkata pengambilalihan MASwings oleh Sarawak dijangka akan diselesaikan pada suku pertama tahun ini, tertakluk kepada penilaian aset MASwings.

Beliau berkata, audit pihak ketiga telah dilantik untuk menentukan nilai yang sesuai, berikutan perbezaan dalam penilaian aset antara kerajaan negeri dan syarikat induk MASwings, Malaysia Aviation Group.

Dalam ucapan khasnya, Abang Johari berkata, pengambilalihan MASwings akan meletakkan Sarawak sebagai pintu gerbang ke ASEAN.

“Dengan peningkatan kapasiti armada dan perkhidmatan yang dipertingkatkan, matlamat kami adalah untuk meningkatkan kedua-dua sambungan domestik dan antarabangsa, terutamanya dalam radius penerbangan empat hingga tujuh jam.

“Ini akan merangsang perdagangan, pelancongan dan pelaburan dalam lima tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN

Ulasan