
Najib dibenarkan semakan kehakiman sahkan kewujudan Titah Adendum
January 6, 2025
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, membenarkan Datuk Seri Najib Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membolehkan mantan perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti dicapai oleh Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, manakala Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan menentang.
Dalam keputusan penghakiman, Mohd Firuz berpendapat mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu (Najib) dalam kes ini.
Berikutan itu, panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Januari depan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di hadapan hakim berlainan. – HARAKAHDAILY 6/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan