
Nasihat kepada Melayu 15 peratus
January 4, 2025
KITA tidak perlu pelik apatah lagi merasa mual dengan satu lagi himpunan orang Melayu yang baru sahaja berjalan petang semalam.
Himpunan Bangkit Ummah yang dianjurkan gabungan NGO dan NGI Melayu merupakan satu tindak balas ‘fizik’ yang normal dalam hukum alam politik.
Setiap sesuatu tindakan pasti akan ada tindak balas.
Apabila barometer orang Melayu dapat mengesan kepentingan orang Melayu dan agama Islam dikacau, maka jawapan yang logik adalah akan ada manifestasi oleh orang Melayu untuk mempertahankan kepentingan mereka.
Namun, usaha ini dicemuh dan disindir beberapa kelompok. Antaranya termasuklah ‘Kelompok Melayu 15 peratus’. Kenapa 15 peratus, kerana inilah angka orang Melayu yang memilih Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas.
Ada yang memilih angka 11 peratus, namun angka 15 peratus adalah lebih tepat berdasarkan analisis pasca PRU-15 oleh Ilham Centre.
Kelompok Melayu 15 peratus menggelarkan himpunan ini sebagai retorik, buang masa, sembang dan sebagainya.
Namun begitu, ada tiga sebab mengapa tindakan orang Melayu majoriti untuk menganjurkan himpunan ini tidak wajar dipertikaikan dengan begitu mudah oleh kumpulan 15 peratus orang Melayu.
(i) Usaha mengikis elemen Islamisasi dalam amalan kenegaraan Malaysia.
Kita tidak boleh menafikan, elemen Islamisasi dalam amalan tadbir urus negara amat kuat sekali. Bahkan Islam menjadi asas penubuhan negara Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan telah menjadi elemen penting sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi.
Kita dapat melihat bagaimana institusi berkaitan agama Islam ditubuhkan dan dibangunkan dengan begitu serius oleh kerajaan sejak awal kemerdekaan seperti Perkim dan JAKIM.
Namun sejak awal kelompok pemimpin sesetengah parti seperti DAP mempunyai pendirian yang nyata bertentangan dengan elemen Islamisasi ini.
Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi pendirian DAP untuk mendirikan negara yang sekular.
Namun yang lebih menariknya, perkara ini juga satu helah. Beberapa pemimpin DAP sebaliknya pendakyah tegar gerakan kristianisasi sepertimana diakui sendiri Hannah Yeoh
Nga Kor Ming pula secara jelas mengisytiharkan sambutan perayaan agama lain akan terus dirancakkan di kementerian-kementerian lain di negara kita.
Suka atau tidak, kelompok Melayu 15 peratus perlu memahami bahawa kumpulan Melayu majoriti melihat situasi hari ini bukan lagi sekadar pertembungan politik kepartian akan tetapi melibatkan pertembungan ideologi yang menyentuh soal akidah dan kesucian agama Islam.
(ii) Pemimpin Melayu kerajaan tidak berkuasa.
Kelompok Melayu majoriti secara hakikatnya masih berpendirian konservatif iaitu meletakkan elemen asas bangsa Melayu dan agama Islam pada peringkat keutamaan yang lebih tinggi berbanding perkara lain seperti ekonomi dan isu sosial.
Oleh sebab itu, kelompok Melayu 15 peratus perlu melihat bahawa pada pandangan orangMelayu majoriti, tindakan membuat himpunan adalah satu keperluan.
Mengapa berhimpun? Sedangkan Melayu sudah ada pemimpin dalam kerajaan?
Sudah tentu persoalan ini berlegar dalam minda kelompok Melayu 15 peratus. Mengapa tidak segala kegusaran orang Melayu disuarakan kepada pemimpin kerajaan sahaja bukan?
Perdana Menteri kita seorang Melayu, bahkan beliau cukup hebat dalam pidato, seni sastera dan kosa katanya yang pelbagai. Beliau juga merupakan lulusan sastera bahasa Melayu dari Universiti Malaya.
Umno, parti tertua Melayu juga merupakan sebahagian kerajaan. Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi pula, merupakan tokoh Melayu yang cukup hebat serta amat dekat dengan institusi pondok.
Bahkan, dalam DAP sendiri terdapat ramai tokoh Melayu yang begitu hebat, bijaksana dan berprinsip seperti Young Syefura, Syeikh Omar dan Marina Ibrahim.
Mengapa meskipun dengan sebegini ramai tokoh dan pemimpin Melayu yang hebat lagi bijaksana memegang posisi dalam kerajaan, kelompok Melayu majoriti tetap memilih cara berhimpun?
Penjelasan yang mudah dan ringkas. Mungkin kerana kelompok Melayu majoriti tidak mempercayai pemimpin Melayu dalam kerajaan dapat membela nasib Islam dan Melayu.
Pemimpin kerajaan dilihat gagal memuaskan hati orang Melayu setakat beberapa tahun sudah mentadbir kerajaan.
Ini berdasarkan beberapa peristiwa besar yang jelas gagal ditangani dengan baik oleh pemimpin Melayu dalam kerajaan sehinggakan kelompok Melayu majoriti kekal tidak berpuas hati.
Antaranya isu rayuan kalimah Allah, isu Nik Elin mencabar enakmen syariah negeri Kelantan serta isu penghinaan beberapa pemimpin DAP terhadap agama Islam yang sehingga kini tiada tindakan lanjut oleh kerajaan.
Maka, kumpulan Melayu majoriti telah membuat keputusan bahawa pemimpin Melayu kerajaan sukar untuk diharapkan dalam membelas nasib mereka melihatkan prestasi semasa pemimpin Melayu kerajaan yang begitu lemah dalam menguruskan isu membabitkan orang Melayu.
Dapat disimpulkan dalam konteks ini,meskipun menjadi sebahagian daripada kerajaan, pemimpin Melayu tidak mempunyai ‘kuasa’ sebenar dalam membentuk keputusan kerajaan.
Pemimpin Melayu kerajaan dilihat gagal mempengaruhi dan menggunakan kedudukan mereka untuk menghasilkan keputusan yang dapat memuaskan kumpulan Melayu majoriti. Buktinya adalah berdasarkan peristiwa yang berlaku. Kita sendiri dapat menilainya.
(iii) Secebis usaha menolak normalisasi.
Kelompok Melayu majoriti sedar apa yang dibuat mungkin tidak mampu mengubah apa yang kerajaan sudah tetapkan. Sementelah kuasa sebenar kerajaan tidak lagi terletak pada pemimpin Melayu dalam kerajaan.
Maka, demi mengelakkan normalisasi atau fenomena penerimaan dalam minda bawah sedar berlaku, maka segala jenis perkara demi menegakkan kepentingan Melayu Islam terus digerakkan.
Hal ini termasuklah menggerakkan siri-siri himpunan sebegini walaupun berdepan risiko dilabel sebagai usaha yang sia-sia dan retorik.
Himpunan atau demonstrasi sebenarnya berperanan sebagai peledak atau dalam situasi lain, berperanan sebagai penguat kepada sesebuah gelombang gerakan massa dalam menyampaikan sesuatu mesej.
Gerakan massa bagi memberikan tekanan kepada kerajaan agar mengambil tindakan sewajarnya terhadap sesuatu isu melibatkan orang Melayu dan agama Islam merupakan pilihan yang logik oleh kumpulan Melayu majoriti dalam memastikan kepentingan Melayu Islam tidak diusik dengan begitu mudah oleh kelompok-kelompok tertentu.
Analogi mudah dapat dilihat sepertimana usaha demonstrasi umat Islam menentang kezaliman rejim Zionis. Meskipun demonstrasi di Malaysia tidak membawa kesan langsung kepada penjajahan yang berlaku, namun secara keseluruhannya, gerakan demonstrasi ini berjaya mewujudkan ‘public opinion’ yang kuat dalam menentang segala jenayah Zionis di Gaza.
Hal ini seterusnya membawa kepada siri-siri tindakan lain seperti boikot dan pemutusan hubungan diplomatik.
Natijah yang sama cuba dibawakan oleh himpunan Bangkit Ummah ini, iaitu ia sedikit sebanyak mampu membuat pemimpin Melayu dalam kerajaan tidak begitu selesa dengan kedudukan mereka dalam kerajaan.
Ini memberi tekanan kepada mereka untuk memainkan peranan sepatutnya sebagai pemimpin yang beragama Islam dalam usaha menjaga kepentingan agama Persekutuan Malaysia ini.
Konklusinya, nasihat buat Melayu 15 peratus, usahlah memperleceh kegusaran orang Melayu yang membentuk hampir 70 peratus demografi negara Malaysia. Jika aman kaum majoriti sesebuah negara, ia akan menatijahkan kepada keamanan negara dalam konteks yang lebih umum.
Sudah tentu nasihat ini tidak menafikan keperluan untuk bangsa Melayu dan umar Islam membuat perubahan secara holistik dalam semua aspek khususnya keilmuan dan sikap jika benar bangsa Melayu ingin melawan ancaman yang mendatang.
TAMAR JAYA
Projek Anak Muda Islam (PAMI) – HARAKAHDAILY 4/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan