Pas bersedia pikul tanggungjawab sebagai perdana menteri

Pas bersedia pikul tanggungjawab sebagai perdana menteri
WARTAWAN Utusan Malaysia, Mohd. Hafiz Abd. Mutalib (kanan) dan Asyraf Muhammad (kiri) menemu bual Hashim Jasin di Kompleks Pas Kangar, Perlis baru-baru ini.
Oleh MOHD HAFIZ ABD MUTALIB dan ASYRAF MUHAMMAD
14 Januari 2025, 8:00 am

RAMAI melihat tindakan Pas yang beria-beria menganjurkan himpunan solidariti mempertahankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini adalah demi kepentingan politik semata-mata.

Ada pihak yang mengatakan usaha Pas ini sebagai mencari ‘tiang’ untuk bersandar dalam politik yang dilihat sesetengah pihak sebagai terdesak untuk kekal relevan. Apatah lagi beberapa nama besar dalam parti itu dilihat berada di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari lalu.
Namun daripada satu sudut lain, ia juga dilihat sebagai pencetus dalam mengembalikan semula hubungan atau kerjasama Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan ASYRAF MUHAMMAD mendapatkan Mursyidul Am Pas, DATUK HASHIM JASIN, baru-baru ini bagi mengulas perkara tersebut dan pelbagai isu lain antaranya calon perdana menteri dari Pas mewakili Perikatan Nasional (PN) sekiranya menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, penguasaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kepemimpinan PN, hukuman sebat secara terbuka dan pelbagai topik lain.

H : NAJIB KIRIM SALAM, UNDANG SECARA PERIBADI JUMPA PIMPINAN PAS

UTUSAN MALAYSIA: Ada yang mendakwa Pas mengambil kesempatan menganjurkan perhimpunan solidariti terhadap Najib demi kepentingan politik ?


HASHIM JASIN : Saya kira langkah Pas untuk mengepalai perhimpunan itu adalah satu usaha kita untuk melihat keputusan mahkamah berhubung dengan perkara yang semua rakyat tertanya-tanya iaitu arahan Yang Dipertuan Agong sebelum ini berkait dengan pembebasan atau tahanan dalam rumah yang disembunyikan.

Kita ingin tahu betulkah perkara benda itu disembunyikan? Itu yang kita mahu dengar daripada keputusan mahkamah. Bukan kerana untuk membantah keputusan mahkamah sebelum ini telah mengenakan hukuman kepada Najib dan kita tidak bincang perkara itu.

Perkara sebenar ialah berkait dengan perintah daripada Yang Dipertuan Agong sebelum ini dilaksana atau tidak. Dan terbukti, apa yang kita ragukan itu adalah satu perkara yang betul dan wujudnya penyelewengan pelaksanaan oleh kerajaan dan mereka harus bertanggungjawab.

Pandangan Datuk apabila ramai mengatakan perhimpunan solidariti terhadap Najib mungkin menjadi pencetus Pas dan UMNO kembali bersatu dan menghidupkan semula?

Dasar kita jelas adalah kepada perpaduan ummah. Dalam usaha itu, pintu untuk kerjasama dengan dengan mana-mana pihak sentiasa terbuka. Ertinya, kita buka kepada parti-parti yang bersedia bersama kita untuk capai matlamat perpaduan ummah kerana ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT untuk bersatu padu, lebih-lebih lagi mutakhir ini apabila ada usaha yang boleh dikatakan cukup bahaya kepada Islam di dalam negara ini.

Bagaimana misalnya ada pengakuan daripada menteri, bukan orang biasa yang mengatakan dia duta Tuhan. Dia beragama Kristian dan apabila dia sebut perkataan itu, maknanya ada usaha untuk mendaulatkan Kristian sedang berlaku. Jadi kerana itu, kita rasa ini masa terbaik untuk sedarkan masyarakat umat Islam-Melayu terutamanya bahawa kita sedang diancam oleh usaha-usaha agama lain dalam negara kita.

Apabila ada ancaman itu, saya rasa sangat sesuailah usaha yang kita buat ini dan suasana ini membantu kita ke arah itu. Sebab itu, bila berhimpun menyokong Najib, bukan kerana dulu kita lawan Najib, maka sekarang kita mahu berbaik. Bukan soal baik tetapi mereka telah melanggar titah Yang Dipertuan Agong dan ini peluang untuk kita ketengahkan sikap, pandangan dan ke arah mana hala tuju Pas dalam tegakkan keadilan yang hakiki dalam negara kita.

Ada menyebut sebelum ini, kerjasama semula Pas dan UMNO antara perkara yang paling ditakuti DAP dan sejauh mana keyakinan Datuk untuk melihat dua parti terbesar Melayu-Islam kembali bersatu ?

Pertamanya, memang DAP tidak senang, takut dan bimbang dengan perpaduan Pas-UMNO. Jadi mereka ingin usahakan supaya Pas jangan kembali bersama UMNO dalam MN. Sebab (mereka sedar) dengan perpaduan Pas-UMNO, maka susahlah bagi mereka untuk menghalang perpaduan dan ia merugikan parti berkenaan.

Saya difahamkan Najib sendiri asyik kirim salam kepada kami (Pas). 6 Januari lalu pun beliau undang secara peribadi pimpinan Pas untuk berjumpa walaupun sekejap. Dan benda itu sudah pun berlaku.

Selain daripada kirim salam kepada pimpinan Pas dan lain-lain, kita nampak beliau bersedia ke arah itu. Tetapi benda ini apa yang saya dengar sudah berlaku dan ini petanda baik ke arah usaha tadi, ke arah perpaduan MN yang kita nampak akan menguntungkan orang Melayu dan Islam sendiri dalam negara ini. Kita doakan supaya usaha ini dapat direalisasikan dalam negara kita.

H : Sewajarnya jawatan perdana menteri milik Pas


Adakah Pas sudah sedia ketengah calon perdana menteri?

Saya tidak ragu-ragu bahawa akar umbi dalam Pas terutamanya meyakini sepenuhnya dalam suasana dan keadaan yang ada, Pas sepatutnya memimpin PN.

Dan hujah-hujahnya cukup banyak. Kita sudah ada dalam tangan empat negeri, ahli-ahli kita berselerak di seluruh negara dengan satu juta ahli rasmi berdaftar dan diluluskan sementara melebihi dua atau tiga juta menyokong yang tidak berdaftar (sebagai ahli). Berdasarkan bilangan yang ramai ini melayakkan kita untuk memimpin, namun bagaimana pun biarlah dilakukan melalui perundingan dalam PN sendiri, bukannya ditentukan satu pihak sahaja.

Sebab itu saya selalu ingatkan, ahli-ahli Pas mengharapkan kepimpinan mengambil kira suasana dan keadaan sekarang ini bahawa adalah lebih baik untuk negara kita ini dipimpin oleh Pas. Walaupun tidak ramai, tiada keputusan rasmi tentang apa saya katakan ini, tetapi hakikatnya kita perlu kembali kepada realiti dan keadaan yang ada dalam negara ketika ini.

Bersatu dilihat menguasai jawatan-jawatan penting di dalam PN, adakah sudah ada perbincangan mengkaji semula pelantikan itu atau sekurang-kurangnya Pas diberikan jawatan timbalan dan setiausaha agung PN ?

Setakat saya tahulah, tidak lagl perbincangan rasmi tetapi pertemuan-pertemuan luar daripada itu sentiasa ada.

Bersatu sebelum ini, menamakan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon perdana menteri, perkara itu ada dibincangkan dengan Pas?

Tidak ada, itu diumumkan (Bersatu) sahaja. Saya yakin kalau benda itu dibincangkan dulu, tidak jadi begitu. Setahu saya, memang tiada perbincangan.

Pas merupakan parti yang sudah cukup lama bertapak di Malaysia dan sangat dominan ketika ini, adakah Pas mempunyai keyakinan untuk mengetengahkan calon perdana menteri dari Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)?

Sekarang ini, saya ingatkan balik pada tahun 1990, di Kelantan waktu itu Pas menang dan pilih Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar. Sebelum itu, kita tidak pernah pun berhasrat meletak beliau dia sebagai calon menteri besar.

Apabila memilih Tok Guru (Nik Aziz) sebagai menteri besar, UMNO sorak dan yakin kononnya tiga bulan kemudian (selepas pelantikan itu), Pas akan jatuh di Kelantan. Sebaliknya yang berlaku Pas kekal lebih 30 tahun pemerintahan di Kelantan. Untuk sekarang juga, kita tidak tahu siapa dari Pas hendak jadi perdana menteri selepas ini dan kita tidak tonjolkan pun siapa namun persediaan sudah ada sekian lama.

Daripada 1951 sudah membuat (siapa calon perdana menteri) tetapi peringkat itu baru bermula. Sekarang, selepas 70 tahun, kita tidak kisah siapa pun, itu biar Allah SWT akan tentukan. Jadi persediaan sudah ada.

Dulu dalam tahun 1950, 1960 dan 1970, tiada doktor mahu masuk Pas. Kini, profesor universiti bukan setakat masuk Pas, tetapi bertanding atas nama Pas.

Dulu, pegawai kerajaan tiada seorang pun mahu masuk Pas. Saya terlibat dengan Pas pada 1960, tahun itu, polis, inspektor mana mahu sertai Pas tetapi apa yang berlaku ketika itu tidak membuatkan kami berhenti bergerak.

Dan usaha itu terus berlangsung selama 70 tahun dan maka itu, saya rasa tidak menjadi masalah (untuk menjadi perdana menteri) dan sememangnya kita sudah bersedia cuma tidak tahu lagi siapa calon akan diketengahkan.

Kita sudah ada ahli, akar umbi yang kukuh berbanding parti Bersatu dan kita juga sudah memegang empat negeri, Bersatu tidak ada lagi. Daripada sudut itu, maka sewajarnya persediaan Pas lebih daripada parti lain.

H : Pas tidak pernah berhenti berjuang pelaksanaan RUU 355

Pandangan Datuk mengenai keperluan negeri-negeri lain khususnya di bawah pentadbiran Pas mengikut jejak langkah Terengganu melaksanakan hukuman sebat secara terbuka terhadap pesalah syariah melalui peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355)?

Yang pertama, hukuman sebat itu sendiri menunjukkan Pas telah berjaya ketengahkan kepada masyarakat tentang cara hukuman Islam dan kita boleh bandingkan hukuman sebat syariah dengan sivil, sekarang rakyat sudah mula nampak. Jadi, sekarang ini sama ada orang Islam atau bukan Islam sudah tahu cara sebat syariah. Sebelum ini tidak boleh tunjuk, Terengganu sudah berjaya.

Adakah negeri-negeri lain di bawah pimpinan Pas perlu melaksanakan hukuman sebat secara terbuka seperti mana dilaksanakan di Terengganu?

Saya dapat maklumat Kelantan sedang bergerak ke arah itu. Perlis dan Kedah belum dapat berita lagi tetapi saya seru supaya empat buah negeri bergerak ke arah itu. Perlu banyak persediaan dan ada kerjasama daripada jabatan-jabatan seperti polis, penjara, mahkamah dan lain-lain.

Tetapi kalau kita bergerak ke arah itu, tidak apalah. Tahniah kepada Terengganu kerana dapat laksanakan. Jangan jadi orang Muslim yang menentang cara pelaksanaan sebat dianjurkan oleh Islam.

Adakah hukuman sebat tersebut antara langkah permulaan ke arah melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya khususnya di negeri ditadbir Pas?

Kita tidak boleh putus dan laksana semua yang ditetapkan agama. Kita perlu bergerak ke arah itu. Contoh kalau lihat ketua muslimat pusat, muslimat Perlis tahun 1960, dia tidak tutup kepala tetapi sekarang pergilah cari muslimat yang tidak tutup. Sebab apa jadi begitu? Sebab kita bergerak sikit-sikit tanpa jemu sehingga hasil dapat dilaksana.

Begitu juga sebat syariah ini. Kalau sesuatu macam mencuri, mengikut ayat al-Quran perlu potong tangan. Kita tidak boleh tangkap dan terus potong sebaliknya perlu persediaan sebelum laksanakan hukuman itu.

Kalau mencuri, contohnya seorang ibu mencuri susu kerana tidak dapat memberi susu dan anak pula asyik menangis, maka pada ketika itu, si pencuri ini tidak boleh dihukum potong tangan.

Adakah RUU355 masih menjadi perjuangan atau agenda parti khususnya apabila Pas sudah menguasai empat negeri, sejauh mana usaha ke arah itu ?

RUU ini pun kita perlu lihat dari segi pelaksanaannya, yang mana apa kita perlu baiki, di mana hendak mula kerana pelaksanaanya panjang. Jadi, kita harus bergerak ke arah itu. Ia (RUU 355) tetap jadi agenda Pas dan tak pernah berhenti walau sekejap.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dulu pernah meluluskan RUU355, bagaimana perkembangannya?

Bukan kita perlu minta (runding) tetapi mereka (kerajaan Pusat) harus sedar. Itu adalah tanggungjawab. Yang kita seru ini, dia wajib buat. Jika mereka tidak buat, maka itu tanggungjawab mereka kepada Allah SWT.

H : Pas yakin rampas lebih banyak negeri

Selepas PRU15 dan PRN baru-baru ini, gelombang hijau atau PN dilihat semakin suram, bagaimana usaha untuk mengembalikan sokongan tersebut?

Saya tidak nampak rakyat tolak apa kita tengah buat sekarang. Malahan bertambah pula orang yang memberi penghargaan, bertambah ahli dan aktiviti-aktiviti kita anjurkan tidak menghampakan dan saya yakin kita semakin kuat. Walaupun kita ada kelemahan-kelemahan di tempat tertentu tetapi tidak boleh hukum kita sebagai parti yang lemah. Sokongan akar umbi menandakan kita yakin tidak akan jatuh.

Datuk yakin Pas atau PN mampu mengekalkan penguasaan di empat negeri dan menawan beberapa lagi negeri lain?

Itu keyakinan banyak ahli dalam PN, bukan saya sahaja. Pas sendiri melihat setelah mengkaji kedudukan politik sekarang ini bahawa insya-Allah kita dapat pertahankan empat negeri dan tambah lagi negeri lain. Kita sudah bekerja ke arah itu daripada sekarang.-UTUSAN

Ulasan