Pemimpin, ahli UMNO tanggung risiko sendiri



Pemimpin, ahli UMNO tanggung risiko sendiri
AHMAD Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis melihat pelbagai jenis lauk pauk yang dijual ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Kuali Kafe di PUSANIKA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, semalam.
Oleh ARIF AIMAN ASROL
6 Januari 2025, 6:40 am

BANGI: Pemimpin dan ahli UMNO yang masih mahu menyertai perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya hari ini, perlu menanggung risiko sendiri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO kekal dengan pendirian untuk tidak menyer­tai perhimpunan solidariti tersebut.

“Kalau (ada) individu (yang hadir ke perhimpunan solidariti itu), kita serahkan kepada mereka untuk mengambil risiko (sendiri).

“Kita harap tidak ada pe­nganjur-penganjur daripada mana-mana bahagian atau cawangan (UMNO) yang turut terlibat secara rasmi di perhimpunan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Kuali Cafe@Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab persoalan sama ada ahli atau mana-mana pemimpin UMNO yang turun berhimpun akan dikenakan tindakan oleh parti.

Media sebelum ini melaporkan, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama Najib, atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan itu susulan kenyataan Istana Negara yang mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akur dengan saranan titah agar menghormati kuasa prerogatif Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, himpunan itu tetap diteruskan apabila Pas mengambil keputusan untuk meneruskan himpunan di depan Istana Kehakiman itu meskipun polis dilaporkan menolak permohonan penganjur dengan alasan dokumen dikemukakan tidak lengkap. – UTUSAN

Ulasan