Pengesahan ‘Data Adendum’ untuk penyasaran subsidi



Pengesahan ‘Data Adendum’ untuk penyasaran subsidi
January 4, 2025


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman menyifatkan polemik penyasaran subsidi petrol RON95 masih berterusan dan sehingga kini, persoalan definisi, kriteria, dan kaedah pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan.

Malah katanya, perkara paling asas masih belum terjawab adalah siapakah golongan teratas 15 peratus (segmen T15) yang tidak layak, dan siapakah kalangan marhaen 85 peratus (segmen B85) yang dikatakan layak.

Menurutnya, melihat kepada kecelaruan dan kesamaran di pihak kerajaan sejak diumumkan dalam Belanjawan 2025, beliau pernah menyarankan beberapa perkara untuk dilaksanakan.

“Menjalankan projek rintis untuk menguji keberkesanan perlaksanaan subsidi bersasar berdasarkan pengelasan T15 dan B85, bagi mengelak tergendala di kemudian hari.

“Menjalankan sesi libat urus secara meluas, termasuk segmen ketua isi rumah, pekerja, majikan, dan peniaga supaya setiap formulasi dasar berpandukan ketepatan data, semakan realiti di bawah, serta daya empati yang tinggi di pihak kerajaan.

“Persoalannya, adakah kerajaan memerlukan maklumat dan data tambahan bagi melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 menjelang pertengahan tahun ini?” kemuka beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

Syahir berpendapat ia mungkin dilaksanakan melalui pendaftaran semula maklumat peribadi dalam sistem PADU yang telah ditutup pada Mac 2024, melibatkan aspek kemaskini, verifikasi, semakan, dan rayuan pada suku pertama 2025 ini digelar ‘PADU Bersih 2.0’.

Atau menurutnya yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS, melaksanakan proses libat urus dengan pengusaha stesen-stesen minyak seluruh negara, yang dilaporkan tidak pernah dilibatkan sebelum ini.

Atau katanya, pengesahan jumlah stesen minyak dan jumlah pemegang kad pengenalan yang telah terlibat dalam ‘projek rintis’ penggunaan kad pengenalan untuk mendapatkan subsidi petrol, seperti dinyatakan Menteri Ekonomi di Parlimen pada November 2024 yang lalu.

“Pastinya maklumat dan data tambahan ini digelar ‘Data Adendum’ amat penting kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi menjayakan hasrat Perdana Menteri untuk mengurangkan tanggungan subsidi dan defisit kerajaan,” ujarnya.

Di pihak rakyat pula menurutnya lagi, penjelasan yang muktamad adalah penting bagi membolehkan rakyat sebagai ketua isi rumah, pekerja, majikan, dan peniaga dapat menyusun Belanjawan Peribadi.

Juga katanya, untuk mereka menyusun Belanjawan Keluarga dan Belanjawan Perniagaan, sekali gus menyerap segala impak Belanjawan 2025 yang dilaksanakan kerajaan.

Justeru tegasnya, kewujudan ‘Data Adendum’ ini amat mustahak untuk memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 tidak akan menjejaskan prospek ekonomi, apatah lagi meningkatkan kos sara hidup dan kos perniagaan yang ditanggung rakyat, T15 mahupun bukan-T15.

“Biarlah dalam soal pengurangan hukuman, ‘Titah Adendum’ menjadi perdebatan. Namun dalam soal pengurangan subsidi, ‘Data Adendum’ disembunyi jangan,” peringat beliau. – HARAKAHDAILY 4/1/2025

Ulasan