Perbetulkan naratif Melayu Pulau Pinang


Perbetulkan naratif Melayu Pulau Pinang
Oleh Mahani Ishak - Januari 5, 2025 @ 1:29pm
BANYAK dakwaan-dakwaan mengenai Francis Light didengar dan didokumentasikan sejak sekian lama yang mengaitkan kononnya dia adalah 'pembuka' Pulau Pinang.

Light yang menetap selama 23 tahun di Kepulauan Melayu turut didakwa berkahwin dengan wanita Melayu selain dia juga sangat memahami adat dan budaya setempat, mampu bercakap Melayu serba boleh membaca jawi.

Malah, Light berpakaian seperti orang Melayu, memakai kain pelekat dan bersongkok serta memilih untuk berbaju Melayu dalam urusannya di Kepulauan Melayu.

Sejak tiba di Pulau Pinang juga, Light yang meninggal dunia pada 1794 tidak pernah kembali ke England.

Mungkinkah faktor ini menyebabkan Light mudah menawan hati orang tempatan dan kemudiannya dalam dokumentasi sejarah, masih terdapat 'kepercayaan' Light adalah pembuka Pulau Pinang sekaligus menafikan keberadaan orang-orang Melayu di situ yang sudah pun bermastautin sebelum 1786.

"Saya bukan berniat mempertikai sejarah Malaysia mengenai Light, tetapi menolak naratif menyatakan sejarah Pulau Pinang bermula dari tahun 1786," itu kata Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, yang menjadi tulang belakang di sebalik usaha selama lapan tahun mendapatkan koleksi digital 1,200 Surat-Surat Francis Light (The Light Letters).


Ahmad Murad menunjukkan surat-surat Francis Light di International Institut of Islamic Thought and Civization (ISTAC-IIUM). - Foto NSTP/Amirudin Sahib



Koleksi itu hari ini boleh diakses secara percuma oleh sesiapa saja melalui platform dalam talian. Ia merangkumi dokumen 11 jilid termasuk surat, tulisan dan catatan raja-raja Melayu, pembesar Kepulauan Melayu serta pedagang Melayu dan Inggeris yang ditulis antara 1768 hingga 1794.

Koleksi itu yang kini ditempatkan di Universiti Sains Malaysia (USM), mampu membuka jendela baharu dalam pengkajian sejarah Kedah dan Kepulauan Melayu.

Salinan digital itu diperoleh dari Sekolah Pengajian Afrika dan Orient (SOAS) Universiti London, namun naskhah asalnya masih kekal di sana.

"Saya memerlukan surat-surat Light untuk melengkapkan kajian mengenai penempatan orang Melayu di Pulau Pinang termasuk mengkaji perkaitan dia dengan keberadaan masyarakat itu.

"Saya mahu membuat kajian mengenai keberadaan masyarakat Melayu di Pulau Pinang sebelum 1786 dan mahu merujuk surat-surat lain yang setakat ini tiada kajian dibuat oleh mana-mana penyelidik.

"Umumnya, mereka merujuk mengenai penggunaan bahasa, filologi serta lain-lain. Jadi itu adalah titik permulaannya dan ia bukan perjalanan singkat kerana proses mendigitalkan dokumen sendiri mengambil masa terutama dalam mengalihkan tulisan jawi ke rumi," katanya.

Ahmad Murad berkata, usaha untuk mendapatkan himpunan surat Light menyebabkannya mula menjejaki keturunan Light yang ada di negara ini terutama yang masih ada di Pulau Pinang serta di Adelaide, Australia sekitar 2015 untuk meminta kebenaran mendigitalkan surat yang berada di SOAS.

Katanya, rentetan itu beliau mencadangkan empat inisiatif kepada SOAS untuk memperoleh akses lebih meluas terhadap koleksi surat Melayu terbesar di dunia itu, yakni melalui pendigitalan imej dan kemudian disusuli pengalihan aksara dari jawi ke tulisan rumi.

"Seterusnya adalah melalui penciptaan portal dan penterjemahan surat ke bahasa Inggeris yang akan diusahakan.

"Saya mengambil masa tujuh tahun berunding dengan SOAS untuk mendapat pemilikan hak ke atas imej surat-surat berkenaan yang membawa kepada Memorandum Perjanjian (MoA) ditandatangani antara USM dan SOAS," katanya.

Wajah Bandaraya Pulau Pinang. - Foto NSTP

Mengimbas usaha awal projek itu, Ahmad Murad berkata kali pertama beliau menghubungi Ketua Arkib dan Koleksi Istimewa Perpustakaan SOAS, Susannah Rayner adalah pada 13 Oktober 2011.

"Susulan itu rundingan demi rundingan dibuat sehingga September 2018. Ketika itu saya berkhidmat di USM, satu persetujuan kemudiannya dicapai antara SOAS, USM dan saya memberi hak kepada USM menempatkan 'The Light Letters' dan menjadikannya satu-satunya institusi di luar SOAS dan United Kingdom dibenarkan berbuat demikian," katanya.

Namun usaha itu tidak mudah kerana SOAS kemudiannya meminta beliau mendapatkan persetujuan daripada waris Light berikutan perlu menyelesaikan isu hak cipta berikutan semua dokumen itu pernah dimiliki Light.

"Ada juga profesor SOAS tidak bersetuju dengan permintaan saya untuk mengimbas (scanning) dokumen bagi disimpan dalam bentuk digital kerana mendakwa mereka 'pewaris dan pemilik' koleksi dokumen itu.

"Ada juga beberapa profesor di SOAS yang tidak bersetuju dengan pendigitalan dan mengalih aksara daripada huruf jawi ke rumi, hal ini membuatkannya proses berkenaan mengambil masa hingga tujuh tahun.

"Perkara itu jadi lambat kerana mereka tidak mahu saya mendapat akses kepada surat-surat itu dan tidak mahu ia diterjemahkan, pengalihan aksara atau 'romanize' dan dimuatkan ke dalam portal.

"Alasan mereka ada penerbit mahu menerbitkannya, tetapi apabila disemak dengan pihak berkenaan, dakwaan itu tidak benar,"katanya.

Naratif baharu Kedah, Kepulauan Melayu

Himpunan Surat-Surat Light berupaya membuka ruang penulisan semula naratif kedudukan Kedah dan Kepulauan Melayu dalam sejarah global suatu masa dahulu.

Apatah lagi sebahagian daripada koleksi berkenaan mengandung perhubungan diplomasi negeri Melayu iaitu Kedah dengan Inggeris dan beberapa negara Eropah lain serta Siam.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, berkata koleksi itu turut mengandung surat perbincangan berkenaan Pulau Pinang oleh dua Sultan Kedah iaitu Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II dan anakandanya Sultan Abdullah Mukarram Shah dengan Inggeris.

Ahmad Murad yang juga terbabit dalam kegiatan memulihara warisan sejarah dan salasilah beberapa keluarga awal Pulau Pinang berkata, selain perbincangan berkenaan Pulau Pinang dengan dua Sultan Kedah, kebanyakan inti pati surat itu berkaitan rundingannya dengan Sultan Kelantan, Sultan Terengganu, Sultan Perak, Raja-raja di Batubara, Asahan, Palembang serta pedagang Melayu, saudagar dan isteri-isteri pembesar Melayu dari semenanjung dan sekitar Kepulauan Melayu.

"Surat-surat itu juga membuktikan penempatan Melayu berada lebih awal daripada kedatangan Light dan ini naratif yang perlu diperbetulkan.

"Sehubungan itu, saya menulis buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang yang menceritakan sejarah Pulau Pinang serta keluarga dan tujuannya bukan berniat mempertikai sejarah Malaysia mengenai Light, tetapi menolak naratif menyatakan pegawai tentera British itu membuka pulau berkenaan," katanya.

Buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang karya Ahmad Murad Merican.

Ditanya pandangan koleksi surat itu lebih sesuai dikekalkan di SOAS, beliau berkata, sejak awal wujud kefahaman membabitkan semua surat tiada hasrat membawa koleksi fizikal kembali ke Malaysia.

"Saya sendiri menyakinkan Susannah koleksi surat itu lebih baik disimpan di iklim sederhana dan saya hanya mahu fokus kepada pendigitalan dan proses transliterasi imej.

"E-mel yang dihantar pada 2011 itu bertanyakan sama ada koleksi surat Light boleh diakses untuk membantu kajian saya berkenaan Pulau Pinang . Malah saya difahamkan ramai sejarawan dan cendekiawan termasuk dari negara ini mahu mendapatkannya.

"Saya juga mendapat tahu beberapa institusi dalam dan luar negara terutama sekitar rantau ini membuat pertanyaan untuk mendapatkan imej-imej itu, tetapi SOAS memilih berurusan dengan saya.

"Ketika peringkat rundingan, saya ada mencadangkan beberapa langkah untuk melindungi artifak dan pada masa sama, meningkatkan kemudahan akses digital seperti dan saya akhirnya memperoleh bagi pihak USM secara percuma tanpa sebarang caj," katanya.

Dalam paparan di portal USM, koleksi itu juga diberi nama Warkah dari Kepulauan Melayu 1768 hingga 1794. Selain itu, sebanyak 11 jilid salinan Warkah Kepulauan Melayu (1768-1794) atau Light Letters (atau nama asal Marsden Collection) diserahkan kepada Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 28 Ogos lalu.

Katanya, mungkin sekitar 20 atau 25 tahun lalu, ada keinginan mahu membawa balik manuskrip-manuskrip yang tersimpan di Eropah terutama sekali di Eropah Barat ke Malaysia. Hal ini disebabkan terdapat banyak manuskrip Melayu di luar negara misalnya di England, London, perpustakaan British, Cambridge, Perancis dan Leiden di Belanda serta di Sepanyol dan Russia.

"Jadi soalnya, perlukah manuskrip itu dibawa balik ke Malaysia?

"Saya rasa tidak perlu melainkan ia didigitalkan. Kita simpan imej digital serta menyenaraikannya dalam bentuk katalog kerana ia lebih mudah dan murah daripada menyimpan koleksi fizikal.

"Kita akan berhadapan masalah penjagaan dan pemuliharaan kerana Malaysia iklim khatulistiwa yang ada masalah kelembapan dan surat berkenaan perlu disimpan dalam bilik yang dikawal suhu dan kelembapan. Saya tidak yakin kita boleh menguruskannya dengan cekap dan baik," katanya.

Ulasan