Perkasakan budaya akademik di universiti



Perkasakan budaya akademik di universiti
KOMUNITI akademik memainkan peranan yang signifikan dalam menyediakan bakat baharu sebagai rakyat yang bertanggungjawab.
Oleh Ahmad Ismail
8 Januari 2025, 8:00 am

BUDAYA akademik di universiti sangat penting bagi menggambarkan kualiti dan boleh membangunkan keyakinan masyarakat umum terhadap sesebuah universiti. Budaya akademik menggambarkan ciri-ciri masyarakat kampus, kepimpinan universiti, gaya pemikiran dan kualiti akademik yang berpengaruh.

Dalam universiti, pembangunan bakat kesarjanaan dilakukan melalui proses dan sistem yang sistematik. Pengalaman melalui daya dan gaya berfikir, menganalisis sesuatu fakta, mencari dan melengkapkan maklumat kearah penyelesaian masalah antara perkara penting dalam pendekatan pembangunan bakat. Melalui pendekatan yang teratur membentuk komuniti akademik yang berpengaruh dalam ekosistem yang luar biasa.

Semakin tinggi kelayakan, semakin tinggilah kedudukan seseorang itu dari segi penghormatan masyarakat dan pemegang taruh lain. Tahap kesarjanaan dan kualiti akademik graduan mestilah setaraf dengan kelayakan selain kedudukan yang mesti diukur oleh universiti agar kualiti akademik mereka diiktiraf serta menjadi lebih kompetitif.

Budaya akademik melibatkan sistem dan amalan bersama di semua peringkat dalam institusi termasuk pendidikan, pentadbiran dan pelajar yang menunjangi falsafah sesebuah universiti.

Semua bahagian mesti berfungsi memahami falsafah, visi dan misi universiti serta melakukan yang terbaik dalam membentuk pengalaman pendidikan dan konsepnya, corak pemikiran, termasuk teori, penyelidikan dan memastikan piawai yang ingin ditengahkan.

Tunjang budaya akademik seperti integriti dan etika, kualiti kesarjanaan graduan yang tinggi serta kebolehpasaran graduan mesti ditegakkan. Dalam proses ini segala tindakan dalam penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan dahaga kepada ilmu, pendekatan aktiviti universiti mestilah melampaui bilik kuliah, kerja lapangan dan penemuan biasa. Kejayaan ini memerlukan usaha bersama semua pihak dalam universiti bagi mencapai matlamat yang sama.

Semua pihak akademik, pelajar mahupun pentadbiran mesti mampu beradaptasi dengan cepat, mudah selain dapat berkembang selari dengan cabaran pendidikan yang dinamik, keterangkuman serta kepelbagaian dalam masyarakat dan teknologi yang semakin kompleks.
Budaya akademik yang kaya melalui pembelajaran, wacana, sifat yang cemerlang serta tegas dapat mengembangkan ilmu, memenuhi cabaran pelajar dan fakulti untuk mencapai tahap kesarjanaan yang tinggi.

Komuniti akademik memainkan peranan yang signifikan dalam menyediakan bakat baharu sebagai rakyat yang bertanggungjawab. Bakat yang berkualiti boleh menghadapi persaingan global dan kesan tindakan dalam konteks yang lebih besar.

Ahli akademik mesti mampu mencorakkan aspek pendidikan tinggi negara merangkumi dunia yang lebih luas selain boleh memberikan kesan dalam bilik kuliah sehingga koridor pentadbiran negara. Keupayaan ini akan meningkatkan kualiti akademik yang mempunyai daya pengaruh berkesan dan kekal.

Pengaruh budaya akademik di universiti boleh dilihat dalam kemampuan menangani isu perkembangan kurikulum yang sentiasa berubah dalam menghadapi cabaran semasa dan bersedia untuk masa hadapan. Kurikulum yang dinamik, mampu memberikan daya siasatan yang tinggi, interaktif dan meningkatkan kemahiran pelajar serta memberikan pengalaman holistik daripada teori mahupun praktikal dengan sokongan kuat dalam sistem yang ada.

Semua pihak daripada pemimpin universiti, para ahli akademik, pentadbiran dan pelajar mesti bertanggungjawab, tidak seperti yang terhimpit kehendak di atas, yang terkurung hendak di luar. Semua pihak mesti bersama memperkasakan budaya akademik di universiti.

Kepimpinan universiti penting dalam membentuk nilai dan budaya akademik sesebuah universiti dengan menggalakkan sifat keterbukaan serta bertanggungjawab dalam mengemukakan pendapat.

Menyuburkan budaya akademik bukan sahaja dikejar tetapi merupakan suatu yang diperlukan. Pembelajaran sepanjang hayat, pembinaan pemimpin untuk memajukan pengetahuan yang manfaatkan masyarakat menjadi matlamat. Proses ini berterusan, berkembang menghadapi cabaran global dan memerlukan desakan mahupun perhatian serta dedikasi komuniti akademik seluruhnya bagi menghasilkan komuniti dinamik selain minda yang mampu mengubah kehidupan masa hadapan.

CABARAN BAHARU
Budaya akademik seperti seminar, persidangan, forum, penyelidikan mencari ilmu baharu dan menyelesaikan masalah masyarakat, berkongsi penemuan, latihan mencari ilmu dalam membina kepakaran serta kemahiran berkaitan sudah lama di amalkan di seluruh dunia.

Perkembangan dunia terkini memberikan cabaran baharu dalam akademik. Banyak perkara terhalang akibat kekangan aktiviti, peruntukan dan birokrasi. Dalam hal ini semua pihak mesti lebih kreatif dan inovatif dalam melangsungkan budaya akademik yang kompetitif di zaman teknologi yang semakin canggih.

Pemerkasaan budaya akademik termasuk komunikasi antara ahli-ahli universiti, persepsi pelajar terhadap pensyarah dan pengurusan universiti perlu diperkembangkan. Tingkah laku dan komitmen pelajar dalam pembelajaran, penulisan, percakapan, kemampuan menulis tesis yang baik, latihan bebas memberikan pandangan, peluang berinteraksi pelajar serta pensyarah pada masa, ruang yang cukup dan selesa sangat penting.

Umumnya budaya universiti adalah refleksi yang menyeluruh tentang ideologi manusia, peraturan, perubahan tingkah laku, membina pengaruh keilmuan yang berlaku semasa menjalankan penyelidikan serta pengajaran dan budaya komuniti dalam universiti.

Budaya universiti agung bermula daripada ketokohan profesor. Pasukan mereka yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik dan pelajar yang mempunyai semangat dan kepercayaan tinggi dalam menerokai sesuatu bidang dapat dirasai serta disokong oleh komuniti universiti.

Semangat ini terus diwarisi menjadi tradisi universiti yang menyumbang kepada kesarjanaan dunia dan boleh menjadi perhatian dunia serta kebanggaan negara.

Malaysia mempunyai kekuatan dari segi kepelbagaian biologi dan ekosistem tropika yang bertaraf dunia. Malangnya kita tidak mencari alasan untuk mengetengahkan kekuatan ini.

Kedudukan Malaysia di Asia Pasifik yang sedang membangun pesat, sudah tentu mampu membawa budaya akademik baharu universiti bertaraf dunia.-UTUSAN

DR. Ahmad Ismail, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Ulasan