
Perubahan cuti hujung minggu Johor ramai lega berbanding bimbang
Oleh Mohamed Farid Noh - Januari 5, 2025 @ 8:15am
Urusan pejabat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mula beroperasi kembali pada hari Jumaat lalu selepas 10 tahun bercuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu. - Foto BERNAMA
SEMALAM dan hari ini adalah hari cuti hujung minggu baharu yang pertama bagi Johor, selepas genap 10 tahun negeri paling selatan itu memilih Jumaat dan Sabtu.
Kembalinya Sabtu dan Ahad sebagai cuti hujung minggu susulan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pada 6 Oktober lalu selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim serta pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Titah Tunku Mahkota Ismail, keputusan mengembalikan semula cuti hujung minggu di Johor sama seperti majoriti negeri lain di Malaysia adalah kehendak rakyat negeri itu untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak.
Perubahan itu juga bakal membawa kesan ekonomi positif, seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di Johor.
Pelbagai reaksi disuarakan terhadap keputusan berkenaan, daripada orang awam, ahli politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Berdasarkan maklum balas, lebih banyak pihak lega berbanding bimbang kerana menganggap ia perkembangan positif dan selaras dengan cuti hujung minggu majoriti negeri serta Pusat, selain sama dengan cuti hujung minggu di negara jiran, Singapura.
Perubahan itu juga dianggap memberi manfaat kepada sektor perniagaan kerana jadual baharu membolehkan urusan harian diselaraskan, terutama bank serta pusat kewangan dunia.
Paling gembira adalah pekerja swasta yang sudah lama meminta pertukaran cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad supaya selaras dengan waktu cuti sekolah anak bagi membolehkan mereka meluangkan masa bercuti bersama.
Bimbang 'hilangnya' identiti unik Johor
Namun, terdapat juga suara kebimbangan dengan 'hilangnya' identiti unik Johor yang bercuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu, terutama bagi umat Islam beribadat pada penghulu segala hari.
Ada juga kebimbangan perubahan itu berpotensi meningkatkan kesesakan jalan raya, terutama di pusat bandar raya Johor Bahru, apatah lagi akibat kemasukan warga Singapura pada Sabtu dan Ahad.
Juga ada yang bimbang kesesakan di lebuh raya akan bertambah memandangkan jajaran lebuh raya di negeri itu hanya memiliki dua lorong dari Melaka sehingga Skudai.
Pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura juga ada tidak selesa kerana ramai berdepan cabaran untuk berulang-alik bekerja pada Jumaat dan Sabtu, hari yang mungkin menyaksikan kesesakan pada waktu puncak lebih lama dan luar biasa, terutama di Tambak Johor.
Bagi pakar sejarah Johor, Ahmad Bahri Mardi, sentimen bercampur rakyat negeri itu terhadap pertukaran cuti hujung minggu yang kembali kepada Sabtu dan Ahad, sudah dijangka.
Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Sejarah Kota Tinggi, berkata sebarang perubahan kepada rutin hidup masyarakat akan menyebabkan kerisauan bagi sesetengah kumpulan, namun kumpulan lain akan mengambilnya secara positif.
Sebagai Negeri Melayu Tidak Bersekutu, katanya, Johor sudah sinonim dengan cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu sebelum ia diubah kepada Sabtu dan Ahad pada 1994.
"Namun, Sultan Ibrahim mengubah semula cuti hujung minggu kembali kepada Jumaat dan Sabtu, 10 tahun kemudian pada 2004. Cuti Jumaat dan Sabtu sudah sinonim serta menjadi budaya hidup masyarakat Johor.
"Ia disemarakkan pula dengan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, termasuk bacaan surah Yasin dan kuliah agama lebih panjang pada setiap malam Khamis. Bagaimanapun, ibadah itu boleh sahaja diubah kepada malam Jumaat kerana ibadat dan aktiviti masyarakat tidak tertakluk hanya pada hari tertentu," tambahnya.
Seiring perubahan zaman, mengambil kira keperluan ekonomi dan keinginan rakyat, beliau berpandangan keputusan mengubah cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad, adalah wajar.
"Ia boleh diterima rakyat negeri yang sudah berpengalaman dua kali berdepan pertukaran cuti hujung minggu," katanya.
Bagi Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Johor, Jarod Chia, perubahan cuti hujung minggu Johor dijangka merancakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan negeri terutama kadar penginapan di hotel.
Mengambil kira pandangan dan maklum balas pelbagai pihak itu, wajar kerajaan Johor memastikan rutin hidup rakyat tidak terjejas dan berdepan masalah tidak dijangka selepas 10 tahun selesa bercuti Jumaat dan Sabtu.
Antara yang utama, memastikan tiada sekatan dan gangguan untuk umat Islam terutama pekerja, selain pelajar dapat menunaikan solat Jumaat dengan tenang, tidak dihalang.
Penulis adalah Wartawan BH Biro Johor
Ulasan
Catat Ulasan