Program mobiliti peluang IPT teroka kerjasama global

 

Program mobiliti peluang IPT teroka kerjasama global
Dr Fauziah Hassan - Januari 4, 2025 @ 10:00am
HASRAT dunia menjelang 2030 untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menjadi tanggungjawab semua pihak demi kemaslahatan manusia dan bumi.

Sebanyak 17 matlamat disepakati secara global dan antaranya adalah menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua melalui SDG 4.

Dalam hal ini, Malaysia menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran (KPM) perlu mendasari matlamat ini untuk memastikan tiada rakyat ketinggalan dalam pembelajaran sama ada pembelajaran secara formal atau tidak formal.

Namun, apa yang menarik adalah bagi merealisasikan SDG 4 ini, KPT menyasarkan 250,000 pelajar antarabangsa datang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran atau mengikuti program mobiliti tahun ini.
Disyorkan


Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui Garis Panduan Pelaksanaan Program Mobiliti (Inbound) di IPT menggariskan tiga kaedah menawarkan program mobiliti kepada pelajar antarabangsa, sama ada melalui mobiliti fizikal, maya atau pendidikan pelancongan. Hari ini, program mobiliti antara kaedah dilaksanakan IPT bagi menarik pelajar antarabangsa mendapatkan pengalaman pembelajaran yang terbaik.

Hal ini menunjukkan kualiti pendidikan inklusif dan peluang mengikuti pembelajaran sepanjang hayat merentasi sempadan menjadikan program mobiliti melalui program pertukaran pelajar sebagai kaedah transformatif dalam agenda pendidikan.


Akses kepada pendidikan tidak harus terhenti hanya kerana cabaran kewangan, ketidaksamarataan, kekurangan teknologi, konflik dan sebagainya dihadapi dunia sehingga merencatkan peluang anak mendapatkan pendidikan berkualiti.

Dari sudut pandang lain, program mobiliti memainkan peranan penting menangani jurang kualiti pendidikan. Dengan mengikuti program mobiliti menjadikan pelajar berpeluang merasai pengalaman pembelajaran pelbagai, memahami pendekatan kaedah pedagogi pendidikan, merasai fasiliti dan kemudahan bertaraf antarabangsa dan berpeluang belajar bersama pakar bidang.

Faedah sebegini yang diperoleh melalui program mobiliti seperti program pertukaran pelajar dan latihan industri ke luar negara memberi peluang kepada pelajar mengambil manfaat secara optimum dengan melahirkan pemikiran kritis dan inovatif untuk meningkatkan kemahiran kendiri serta mendepani cabaran global pada masa hadapan.

Pengalaman dan peluang sebegini diberikan kepada pelajar. Pendedahan meneroka budaya baharu melalui program mobiliti perlu diambil secara positif. Kerjasama dengan institusi antarabangsa sebenarnya secara tidak langsung membuka jalan dan peluang lebih besar kepada IPT untuk meneroka peluang kerjasama dengan lebih efisien dan berimpak. Ini menjadikan peluang untuk terkehadapan sebagai serampang dua mata, iaitu kedua-dua pihak, pelajar dan institusi mendapat manfaat.

Menyahut cabaran pendidikan hari ini hanya boleh direalisasikan melalui perkongsian strategik.

Hubungan dua institusi terjalin melalui program mobiliti dan seterusnya kepada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pasti memberikan sinergi kerjasama antarabangsa berimpak menerusi aktiviti atau program dipersetujui sama ada melalui program dwi-ijazah, penyelidikan, pertukaran pelajar, pelantikan pensyarah pelawat dan perkongsian pakar.

Tidak dinafikan program seperti geran Erasmus+, Fulbright dan Mobiliti Antarabangsa ASEAN untuk Pelajar (AIMS) menunjukkan bagaimana perkongsian penyelidikan merentas institusi boleh menghasilkan penyelesaian inovatif memberi manfaat bukan sahaja kepada institusi tetapi menyumbang faedah kepada komuniti secara global.

Bagi menutup jurang dalam bidang pendidikan dan memberi peluang kesamarataan pendidikan kepada pelajar, inisiatif IPT memperbanyak peluang kerjasama dan perkongsian perlu direalisasikan.

Kolaborasi bersama sektor swasta terkenal untuk mendapatkan dana atau biasiswa boleh menjadi kaedah untuk merancakkan program mobiliti antarabangsa.

Situasi 'menang-menang' boleh disepakati melalui kerjasama ini yang mana pelajar akan menjadi duta kecil kepada pihak menaja dan membawa imej universiti, memberi manfaat kepada pelajar menggalas tanggungjawab besar sebagai bakal pemimpin global berdaya saing dan mampu membina jaringan antarabangsa.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Ulasan