Sanusi hadir ke Himpunan Solidariti Najib Razak
January 5, 2025
Share
Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memaklumkan, beliau akan hadir ke Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, esok.
Katanya, PAS tetap penyertaan pada himpunan itu, adalah untuk memastikan adendum terhadap bekas Perdana Menteri itu ada atau tidak.
“Kes yang dibawa ke mahkamah esok ialah semakan kehakiman untuk melaksanakan perintah adendum yang dibuat sewaktu pentadbiran Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Ada ke tak dak, ada org kata ada, lepas tu kata tak ada, ada orang kata tak ada, lepas tu kata ada.
“Jadi kita nak tengok ada ke tak ada. Sebab itu saya nak pi (pergi) mahkamah esok,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Kempen Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Cashless, di Dewan Ukir Mall, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengakui, PAS mengambil kesempatan dan peluang atas dasar politik untuk menyertai perhimpunan itu.
“Ya, politik adalah pentas peluang, kalau ikan lalu, kita tak sauk, rugilah. Cuma nak sauk tu ada alat atau tak ada alat. Janganlah pi bom, sauk elok-elok,” katanya.
Mengulas lanjut, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, dalam suasana ‘langit terbuka’ sekarang ini, tiada perkara yang boleh disembunyikan.
“Sekarang orang nak tengok. Proseslah. Nak selindung la ni (sekarang), apa pun tak boleh dah.
“Jadi yang dibawa ke mahkamah esok itu, apa? Siapa yang bercakap benar, siapa yang tidak bercakap benar.
“Patutkah di zaman langit terbuka ini, cakap tak benar boleh dibuat lagi?” soalnya.
Berikutan itu, tambahnya, dalam konteks yang dibenarkan oleh sistem, undang-undang dan demokrasi, perkara itu diteruskan asalkan jangan menyanggahi undang-undang.
“Tak ada pun titah Yang di-Pertuan Agong larang himpunan esok, pasai (pasal) apa depa pi konar (pusing) kut tu.
“Sapa yang konar? Tentulah orang yang konar tu ada tujuan tertentu. Apa tujuan dia konar, semuanya akan menjadi persoalan yang berlarutan,” bidasnya lagi.
“Sebaiknya bersikap telus agar semua orang tahu dan tiada apa yang perlu ditakut atau disembunyikan selagi kita benar,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan