
‘Saya yakin PKR takkan sekat kebebasan bersuara’
Hassan Abdul Karim
Oleh ASLINDA NASIR
1 Januari 2025, 6:15 am
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yakin setiap kenyataan yang dikeluarkannya adalah demi kepentingan PKR meskipun sudah dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti November lalu.
Katanya, hubungan beliau dengan pimpinan parti dan ahli di peringkat akar umbi kini baik dan tiada sebarang masalah.
Malah jelasnya, beliau tetap berpegang teguh dengan keterbukaan parti itu dalam meraikan kebebasan bersuara yang menjadi asas perjuangan parti tersebut dari dulu sehingga kini.
“Keadilan adalah sebuah parti yang merayakan kebebasan berfikir dan bersuara.
“Saya menghormati pimpinan parti Keadilan dan pimpinan Keadilan menghormati hak saya untuk berbicara sebebasnya. Hubungan kami baik-baik belaka,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Hassan sebelum ini dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti berkenaan selepas didapati mengkritik kerajaan dalam isu pelantikan syarikat U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua.
Malah, PKR turut melabel Hassan sebagai merosakkan imej parti tersebut apabila membuat kenyataan terbuka berkenaan, sekali gus Hassan berkata yang dirinya bersedia untuk digantung atau dipecat parti berkenaan.
Kali ini, Hassan sekali lagi mengeluarkan kenyataan dengan memberi peringatan bahawa Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menjadi isu panas yang boleh ‘membakar’ perpaduan Kerajaan Madani.
Malah, menurut beliau, Pas kini dengan cepat menangguk di air keruh untuk mendapat laba politik berkait isu itu dengan menggerakkan usaha menganjurkan perhimpunan besar di depan Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari depan.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Hassan berkata, beliau tidak nampak sebarang kepentingan untuk menyeru ahli PKR turun berkumpul bagi menyatakan solidariti terhadap Najib.
“Mengapa mesti ada perhimpunan raksasa untuk menekan hakim dan mahkamah? Kesalahan yang dilakukan Najib adalah kesalahan besar dalam kes SRC International. Bagi saya tidak ada double standard dalam soal hukum dan kedaulatan undang-undang.
“Rasuah dan pecah amanah jenayah serta salahguna kuasa yang bekas Perdana Menteri Najib lakukan didapati bersalah oleh hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan perlu dihormati,” ujarnya.
Beliau secara peribadi turut menyifatkan hukuman tersebut merupakan pengajaran supaya tidak ada mana-mana lagi pemimpin negara termasuk Perdana Menteri juga boleh dikenakan hukuman atas perbuatan salah guna kuasa.
“Perhimpunan anjuran Pas dan UMNO pada 6 Januari 2025 di Putrajaya di hadapan Istana Kehakiman adalah merugikan negara dan merosakkan semangat rakyat yang mahu melihat negara Malaysia yang adil, tidak rasuah yang bergerak seperti seruan Rukun Negara yang menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
“Bukannya negara yang mengamalkan sistem keadilan dua darjat yang mengutamakan kepentingan elit berkuasa,” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan