
Sedarlah bumi kita sedang tenat
Oleh Ahmad Ali A. Karim
18 Januari 2025, 8:00 am
BUMI kini sedang sakit. Kerakusan manusia mengejar keuntungan telah mengganggu kestabilan ekosistem bumi. Demi kepentingan ekonomi, baik secara sedar atau tidak, manusia melakukan begitu banyak kerosakan terhadap alam sekitar. Akibatnya, kini semua terpaksa membayarnya dengan harga yang amat tinggi.
Ahli sains memberi amaran demi amaran tentang betapa seriusnya krisis perubahan iklim dan pemanasan global yang sedang mengancam kehidupan di bumi. Akan tetapi, sebahagian daripada masyarakat dunia masih tidak sedar atau memilih untuk tidak ambil peduli amaran ini.
Malah, ada dalam kalangan kita yang tidak percaya ataupun menganggap apa yang dibangkitkan itu langsung tiada kena-mengena dengan kehidupan masing-masing. Bagi mereka, usaha menangani krisis alam sekitar ialah tanggungjawab pemimpin semata-mata. Tanggungjawab secara kolektif setiap penduduk dunia dalam menjaga kemampanan bumi tidak pernah ada dalam kamus hidup.
Kita berlumba-lumba mengejar bintang di langit, kita berusaha mengatur langkah untuk meneroka angkasa raya sedangkan bumi tempat kita berteduh ini tidak pula kita jaga. Kita rakus mengejar kemajuan ekonomi tanpa mempedulikan kesannya ke atas ekosistem alam semula jadi. Akibatnya, alam sekitar tercemar dan rosak akibat ketamakan manusia mengejar keuntungan.
Setakat manakah komitmen dan usaha pemimpin dunia dalam menangani isu ini? Kalau sekadar mengeluarkan kenyataan dan janji manis semata-mata, ia tidak akan menyelesaikan krisis. Kita mesti segera bertindak tuntas sebelum keadaan menjadi lebih parah. Masakan kita mahu menunggu sehingga kalah baru mahu berkubu? Ataupun sudah kecurian baru mengunci pintu?
Kita menyaksikan satu demi satu bencana alam berlaku di seluruh dunia. Hakikatnya, dalam banyak keadaan kita sudah tahu kemungkinan ia akan berlaku. Contohnya, kita sudah maklum risiko berlakunya kebakaran hutan, hakisan pantai, tanah runtuh, banjir teruk dan mala petaka lain di kawasan tertentu akibat pembangunan yang dilakukan tanpa mengambil kira aspek menjaga kemampanan alam sekitar.
Tragedi kebakaran hutan yang dahsyat di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) minggu lalu memusnahkan ribuan buah rumah serta bangunan lain. Ia seharusnya membuka mata dunia betapa pentingnya berdamai dengan alam. Kawasan elit yang canggih dan mewah hanya tinggal abu dalam sekelip mata.
Kebakaran hutan di California bukanlah perkara baharu atau sesuatu yang mengejutkan. Malah, kawasan Malibu sudah dilanda tragedi serupa. Bezanya, kali ia lebih tragis kerana dalam sekelip mata sahaja badai api yang mengganas merebak ke kawasan penempatan dan komersial yang padat.
Angin kuat Santa Ana yang berkelajuan taufan menjadikan kebakaran tidak terkawal. Bangunan demi bangunan musnah terbakar dimamah ribut api yang membadai. Keesokan harinya, kawasan-kawasan penempatan ranap menjadi abu. Keadaannya amat memilukan, kita seolah-olah menyaksikan kemusnahan perang yang amat mengerikan.
Dunia harus bangkit dan mengambil langkah tuntas bagi menangani krisis ini. Impak kerosakan alam sekitar akan mengakibatkan krisis kemanusiaan. Tiada gunanya kemajuan teknologi tercanggih serta harta yang banyak jika kita tidak boleh membeli makanan, tiada air bersih, keadaan alam yang kering-kontang dan hidup dalam udara yang tercemar.
Kita di Malaysia juga sudah merasai impaknya. Lihat sahaja hakisan pantai yang bertambah teruk tahun demi tahun akibat pembangunan kawasan pantai dan laut yang tidak cekap dan teliti.
Laporan-laporan berita tentang hakisan pantai yang semakin parah di Terengganu umpamanya, sudah dijangka dan bukannya sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba.
Penebangan hutan yang berleluasa ialah punca kerosakan besar yang berlaku dalam tragedi bah kuning di Kelantan pada Disember 2014. Dalam banjir besar ini, hentaman balak-balak yang dihanyutkan menyebabkan banyak rumah-rumah penduduk serta beberapa jambatan runtuh.
Di Cameron Highlands pula, pembangunan guna tanah secara tidak terkawal menyebabkan berlakunya banjir dan tanah runtuh. Hal ini akan bertambah buruk dan pelbagai masalah lain akan timbul jika keadaan ini dibiarkan berlaku tanpa pengawalan yang ketat.
Kesedaran umum tentang tanggungjawab awam dalam usaha mempertingkatkan kemampanan serta menjaga alam sekitar sangatlah penting. Pembuangan sampah di merata-rata tempat mesti dihentikan. Begitu juga dengan aktiviti pembakaran terbuka. Walaupun dilihat remeh tetapi impaknya kepada ekosistem amatlah besar.
Apakah idea dan tindakan pemimpin dalam usaha menangani krisis ini? Tiada gunanya jika hanya tahu menyalahkan pihak lain setiap kali berlakunya bencana alam sedangkan mereka mempunyai tanggungjawab besar mentadbir negeri masing-masing.
Laungan politik tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Amatlah penting bagi pemimpin yang dilantik bukan setakat memahami bidang tugas masing-masing, tetapi berkebolehan serta cekap melaksanakan amanah yang diberikan.
Kerajaan perlu tegas mengawal aktiviti pembalakan, penerokaan hutan bagi tujuan perladangan dan komersial, pencemaran udara dan air akibat serta pembuangan sisa perkilangan dan sebagainya. Industri pelancongan juga harus dikawal selia dengan teratur agar ia tidak memberi impak buruk kepada alam sekitar.

PENDIDIKAN KEMAMPANAN
Sudah tiba masanya pendidikan kemampanan dijadikan mata pelajaran arus perdana agar kesedaran dapat ditanam dalam jiwa generasi muda agar mereka memahami tanggungjawab.
Kesedaran akan tanggungjawab sosial penting agar kita dapat memainkan hidup bermasyarakat, menghormati hak orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri.
Sayangi bumi kita. Sehebat mana pun kemajuan sains dan teknologi yang dicapai, manusia tidak akan dapat membina semula alam yang kita nikmati pada hari ini. Kita harus bergerak ke arah pembangunan mampan dan bukannya pembangunan yang hanya berteraskan ‘hawa nafsu’ tanpa memikirkan kesan disebalik setiap perbuatan.
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Ulasan
Catat Ulasan