Sejarah sepatutnya menjadi iktibar
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
8 Januari 2025, 7:15 am
Semalam pemimpin Malaysia dan Singapura sekali lagi duduk di meja rundingan bagi membincangkan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan bersama.
Dari isu lapuk yang tidak selesai-selesai hinggalah perbincangan kerjasama ekonomi dibincangkan dalam Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kali ke-11 selama dua hari bermula kelmarin.
Isu ruang udara, persempadanan maritim dan bekalan air dari Johor ke Singapura yang sudah berdekad-dekad dibincangkan belum lagi mencapai kata putus sehingga hari ini.
Tiga perkara itu kadangkala menjadi ‘panas’ dalam hubungan dua hala negara berjiran tersebut apabila pemimpin berbeza pandangan terhadap isu-isu semasa yang timbul.
Namun di sebalik itu semua, kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang utama dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Dalam pemukiman itu juga kedua-dua negara bersetuju melaksanakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kerjasama pendidikan, soal wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Penyelesaian Isu Malaysia dan Singapura itu kadangkala juga bergantung kepada iltizam tampuk pemerintahan negara. Ada yang mengambil pendekatan tegas, ada yang berhati-hati dan ada yang mengorak langkah untuk mencari penyelesaian.
Keadaan itu kadangkala menyebabkan berlaku pertukaran dasar kerajaan dan ada projek bersama yang dirancang, dibatal atau terbiar begitu sahaja.
Namun selagi kedaulatan negara terus terpelihara dan tidak membawa kerugian dari segi ekonomi, apa pun keputusan kerajaan, ia patut disokong.
Semua pemimpin negara mempunyai matlamat yang sama dalam menguruskan hubungan diplomasi dengan Singapura iaitu demi menjaga kepentingan negara cuma cara mereka sahaja berbeza.
Soal ekonomi negara turut mempengaruhi hubungan dengan negara seberang tambak itu kerana Singapura ekonominya kukuh dan nilai matawangnya lebih tinggi. Ini satu hal yang patut Singapura ambil kira kerana sudah tentu Malaysia juga mempunyai keutamaannya sendiri.
Sebab itulah ada projek kerjasama ekonomi yang belum dapat dilaksanakan seperti kereta api laju Singapura-Kuala Lumpur (HSR) kerana kos yang terlalu tinggi dan ada keperluan lain yang lebih mendesak untuk dilaksanakan ketika ini.
Apapun isu-isu lama yang bermula selepas sejarah pemisahan Singapura dari Malaysia itu perlu dinoktahkan segera.
Sejarah hubungan dua negara itu sepatutnya menjadi iktibar kepada pemimpin hari ini dalam membina Malaysia-Singapura yang lebih gemilang.
Tidak perlu lagi isu-isu lama diwariskan pula kepada generasi akan datang kerana penyelesaiannya nanti tentu lebih kompleks. – UTUSAN
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan