
Sembunyi Titah Adendum cemar prinsip perundangan
January 6, 2025
PUTRAJAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius tindakan individu dalam kalangan pihak kerajaan yang disifatkan telah menyembunyikan titah tambahan (adendum).
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, tindakan sebegini merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap institusi diraja dan amanah yang diberikan oleh rakyat.
“Hal ini jelas mencemarkan prinsip kedaulatan undang-undang dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
“Sebagai langkah tegas, Pemuda PAS akan memastikan kerahan laporan polis dibuat bagi menyiasat dalang di sebalik usaha menyembunyikan titah ini.
“Tindakan undang-undang perlu diambil segera bagi memastikan integriti kerajaan tidak terus tercemar dan mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan himpunan besar-besaran anak muda sebagai isyarat jelas bahawa rakyat tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pengkhianatan terhadap institusi diraja dan amanah rakyat.
“Mereka yang terlibat dalam pengkhianatan ini perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.
Justeru, Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya parti politik anak muda untuk terus bersatu mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang serta menghormati institusi diraja.
“Anak muda tersebut termasuklah Pemuda Umno, Armada, Amanah, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan lain-lain.
“Oleh demikian, sebarang tindakan yang mencabuli kepercayaan ini wajib ditentang dengan penuh ketegasan demi menjaga keharmonian dan kestabilan negara,” katanya.
Terdahulu, pihak pembelaan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, bahawa anak sulung Najib, Datuk Muhammad Nizar mengesahkan wujudnya Titah Adendum daripada Istana Pahang.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika membaca perintah itu di hadapan panel tiga hakim, yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong ke-16 membenarkan anak guamnya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Muhammad Shafee berkata, Mohamad Nizar menerima dokumen itu yang merupakan rekod peribadi Sultan Pahang.
“Kami memohon penerimaan semua bukti affidavit ini supaya boleh berhujah mengenai rayuan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan