
Sijil Halal jamin kebersihan premis, yakinkan pelanggan
January 1, 2025
KOTA BHARU: Langkah Kerajaan Negeri Kelantan memperkenalkan sijil halal untuk restoran dan premis makanan disifatkan sebagai inisiatif baik yang bukan sahaja menjamin kebersihan, tetapi juga memberi peluang kepada pelanggan membuat pilihan lebih yakin.
Setiausaha Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Hareetaram Raman berkata, inisiatif tersebut menekankan piawaian kebersihan premis sebagai salah satu kriteria utama dalam mendapatkan sijil halal.
“Langkah ini penting untuk memastikan restoran yang dikunjungi pelanggan mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan makanan. Ia memberi keyakinan kepada pelanggan bahawa kedai makan tersebut memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Hareetaram, langkah itu tidak bertujuan menggugat masyarakat bukan-Islam, sebaliknya hanya menimbulkan kekeliruan apabila kenyataan awal menyebut semua restoran di Kelantan perlu mendapatkan sijil halal untuk memperbaharui lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kekeliruan ini timbul kerana kenyataan yang dikeluarkan terlalu umum. Namun kini, wakil PBT telah memberikan penjelasan terperinci kepada pengusaha restoran, dan mereka mula memahami dengan lebih jelas tentang kriteria yang diperlukan untuk mendapatkan sijil halal,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa restoran milik bukan-Islam yang majoriti pelanggannya adalah Muslim perlu memohon sijil halal.
Sebaliknya, jika restoran tersebut dimiliki oleh bukan-Muslim dan hanya menyasarkan pelanggan bukan-Muslim, mereka tidak diwajibkan mendapatkan sijil halal.
“Dalam kes ini, restoran tersebut dibenarkan menyediakan makanan tidak halal dan dianggap sebagai restoran khas,” katanya lagi.
Langkah ini, katanya, menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan premis makanan di negeri itu bukan sahaja halal tetapi juga bersih, demi kesejahteraan semua pihak. – HARAKAHDAILY 1/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan