
Sokongan terhadap Najib oleh ahli Umno dilihat utuh
January 6, 2025
PUTRAJAYA: Sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak terus kukuh dalam kalangan ahli Umno walaupun beliau kini berdepan isu perundangan.
Dalam satu Himpunan Solidariti Najib yang diadakan hari ini, ramai ahli Umno hadir walaupun amaran risiko telah dikeluarkan oleh Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kehadiran ahli-ahli Umno membuktikan Najib masih berakar umbi dalam hati ahli parti.
“Ini adalah isyarat kepada YB Zahid Hamidi bahawa ahli-ahli Umno mahu melihat Dato’ Sri Najib diberikan hak dan keadilan yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita di luar kompleks Istana Kehakiman Putrajaya, di sini hari ini.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, turut menyuarakan rasa kesal terhadap Zahid Hamidi yang dianggap tidak menggunakan kedudukannya sebagai orang nombor dua dalam kerajaan untuk memastikan ruang lebih selesa disediakan bagi rakyat Malaysia berhimpun secara aman.
“Saya yakin sekiranya diberikan peluang semua dapat datang pada hari ini berkali-kali ganda lagi jumlah yang dapat kita kumpulkan pada hari ini.
“Walaupun himpunan ini tidak dapat menyelesaikan isu ini dari sudut undang-undang tapi hak untuk berhimpun itu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji pihak polis yang bertugas dengan profesional, tetapi menegaskan bahawa tanggungjawab utama terletak pada kerajaan untuk memberikan kelonggaran kepada rakyat berhimpun.
Fadhli turut membandingkan tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika ini dengan sikap beliau sewaktu menjadi pembangkang.
“Bukankah beliau dahulu sering mengajak rakyat untuk berhimpun bila ada isu yang melibatkan beliau?
“Rakyat diajak untuk berhimpun dan turun ke jalan raya, tapi sangat pelik bila beliau jadi kerajaan pada hari ini beliau sendiri menyekat rakyat daripada berhimpun,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri tidak seharusnya menyalahkan polis atas keputusan ini.
“Masa jadi pembangkang, salahkan kerajaan. Tapi bila jadi kerajaan, tuding jari pula kepada polis. Ini tindakan yang sangat kurang baik,” katanya.
Justeru, perhimpunan tersebut mendapat perhatian ramai dengan kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang yang ingin menunjukkan sokongan terhadap Najib dan menuntut keadilan bagi pihak beliau. – HARAKAHDAILY 6/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan