Solidariti Najib: Mengapa anak beranak Lim marah-marah?


Solidariti Najib: Mengapa anak beranak Lim marah-marah?
January 2, 2025


DATO’ Sri Najib Tun Razak pemimpin Umno. Umno dengan PAS ketika era Najib sekadar bermusuh di medan politik namun tetap menghormati persaudaraan Islam.

Hubungan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Dato Sri Najib diketahui akrab malah pernah hadir dalam satu majlis dengan memakai pakaian berwarna sama.

Dato Sri Najib tidak pernah mengata sesuatu yang terlalu buruk mengenai PAS ketika itu, dan begitu sebaliknya di pihak Tuan Guru. Kempen ‘Budaya Politik Matang & Sejahtera’ digerakkan oleh pucuk pimpinan PAS mula memberi kesan untuk ahli-ahli parti menyerap mesej bahawa yang perlu diutamakan ialah perpaduan ummah — Islam dan Melayu — untuk menyekat ancaman liberalisasi yang dibawa oleh Pakatan Harapan dalam politik tanah air.

Di sinilah bermulanya keterbukaan ahli-ahli PAS untuk menerima sahabat sahabat daripada Umno. Walaupun pada awalnya agak sukar malah ada ahli-ahli PAS yang membantah namun akhirnya Muafakat Nasional (MN) berjaya direalisasikan.

DAP yang paling takut dan berusaha keras untuk menghalang permuafakatan orang Melayu atau Islam ini kerana DAP sedar, ini halangan yang paling ampuh akan menyekat penguasaan mereka melaksanakan agenda yang sudah dirancang lama.

Akhirnya jelas terbukti. Perpaduan orang Melayu atau Islam di bawah panji-panji Perikatan Nasional (PN) gabungan PAS, Umno dan Bersatu benar-benar telah berjaya menyatukan orang Melayu dengan PN diberi mandat untuk mengemudikan pentadbiran negara menghadapi gelombang pandemik COVID-19.

Malangnya, penguasaan itu tidak bertahan lama. Semua orang tahu titik kelemahan Umno. Presidennya sendiri ada berpuluh kes mahkamah. Inilah ruang dan peluang keemasan untuk PH memanfaatkan kelemahan pemimpin Umno untuk mengekalkan hegemoninya dalam politik.

Mudah untuk mereka mengumpan dan diumpan, lalu akhirnya Umno berpaling tadah meninggalkan MN dam PN untuk bersama dengan PH. Kehendak akar umbi tidak dipedulikan.

Malah hari ini apabila PAS bersungguh-sungguh menganjurkan himpunan solidariti untuk Dato Sri Najib — pemimpin DAP tiba-tiba ke hadapan, memberi amaran dan marahkam pemimpin dan ahli Umno yang bersetuju untuk menyertai himpunan itu. Mereka mempersoalkan keikhlasan Umno bersama PH. Dato Sri Najib itu pemimpin Umno, bukan pemimpin PAS.

Langkah PAS menginisiatifkan perhimpunan itu adalah sekadar menyatakan sokongan dan solidariti untuk Dato Sri Najib diberikan keadilan selaras dengan titah adendum. Itu sahaja. DAP tuduh PAS mengambil kesempatan politik. Memang PAS sebuah parti politik dan apa yang pelik untuk PAS mengaut laba politik?

Tuduhan DAP mencerminkan sikap tidak matang pemimpin parti itu yang seolah menjadi begitu naif dalam keadaan mereka tersepit, atau agenda mereka cuba dihalang. Mereka tiba-tiba menjadi hilang punca dan tidak keruan. PAS boleh menunjukkan solidariti kepada sesiapa sahaja yang dikira berhak untuk mendapatkan sokongan dan keadilan.

Tindakan PAS tidak pun melanggar undang-undang dan hanya DAP yang seperti cacing kepanasan. Jika tidak masakan satu keluarga supremo mereka, Lim Kit Siang dan dua anaknya, Lim Guan Eng dan Lim Hui Ying selain RSN Rayer sampai mengadakan sidang media khusus mengecam ahli Umno berhimpun dengan PAS untuk menunjukkan solidairiti kepada Najib. Pernahkah kita terfikir munasabah untuk seorang pemimpin parti lain mengecam ahli parti yang berhimpun untuk menyokong pemimpin mereka sendiri? Pelik, kan?

Sekarang, terserah kepada ahli Umno sendiri. Adakah kalian berasa takut menghadapi gertakan DAP untuk membela pemimpin kalian sendiri?

Adakah kalian mahu menunjukkan kepada dunia betapa baculnya kalian membiarkan diri dikawal oleh orang luar yang tidak ada kena mengena dengan Umno. Malah dia selama ini begitu dalam permusuhannya terhadap Umno.

Adakah anda percaya orang seperti Kit Siang dan Guan Eng ikhlas terhadap anda dan parti anda sebagaimana yang mereka persoalkan terhadap PAS?

PAS sekurang-kurangnya tetap ada jiwa persaudaraan Islam dan Melayu yang tidak pernah berkurang. DAP selama ini diketahui kelompok manusia ultra kiasu yang sentiasa mahu mengawal orang lain untuk mengikut telunjuk mereka semata mata. Berbuat apa hanya apa yang mereka setuju. Sebab itu mereka tanpa rasa segan silu sanggup memarahi orang Umno yang mahu membela pemimpin mereka sendiri. Itukah yang boleh dianggap ikhlas?

Pokok utama persoalannya ialah kita percaya, apa yang DAP paling takuti ialah kalau Umno bersatu dengan PAS semula. Tidak kira atas nama MN atau PN, ‘reunite’ Melayu – Islam ini mesti dihalang yang jika dibiarkan, akan menjadi ancaman untuk PH pada PRU akan datang.

PH dan DAP selama ini menaruh keyakinan yang tinggi bahawa kedudukan mereka akan semakin mengukuh dengan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Jika ini berlaku, unjuran pertambahan kerusi majoriti bukan Melayu di bandar-bandar besar akan menambah kerusi DAP daripada 40 ke 80 kerusi dalam Dewan Rakyat.

Justeru sebarang bentuk perpaduan orang Melayu atau Islam yang mungkin sahaja bermula daripada himpunan solidariti ini perlu dihalang. Orang Melayu atau Islam perlu terus dipecahbelahkan untuk memastikan cita-cita DAP tidak terjejas.

MUHAMAD MAT YAKIM
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 2/1/2025

Ulasan