SURAT | Matlamat tidak menghalalkan cara



Surat
SURAT | Matlamat tidak menghalalkan cara
Mahathir Mohd Rais
Diterbitkan: Jan 7, 2025 9:00 PM
Dikemaskini: 9:00 PM


Kesal melihat realiti politik hari ini. Pemimpin yang dahulunya lantang menolak kepimpinan kleptokrat kini berdiri mempertahan individu sama yang mereka lawan habis-habisan. Rakyat pernah digesa turun ke jalanan untuk menentang kemungkaran dan rasuah rejim terdahulu.

Individu yang digelar perompak dan penyamun itu diratib pagi petang siang malam sebagai musuh rakyat. Namun hari ini, mereka seolah-olah lupa prinsip yang pernah dilaungkan.

Anak-anak muda yang menjadi suara perubahan dijadikan mangsa permainan politik. Mereka diracun minda, dikerah untuk melawan, bahkan ada yang hilang pekerjaan, dipenjara, dan disoal siasat kerana perjuangan yang disangka murni.

Semua pengorbanan itu rupanya hanya untuk mempertahankan mereka yang sama-sama menjadi sebahagian daripada kemungkaran.

Daripada Deklarasi Rakyat hingga Kongres Maruah, semuanya hanya retorik kosong. Dibungkus dengan janji penyatuan, namun hakikatnya adalah demi menjaga kedudukan dan kelangsungan politik sesama sendiri.

Siapa yang memalukan negara di mata dunia? Siapa yang merompak hasil negara? Siapa yang menyalahgunakan kuasa hingga bangsa terus mundur?

Jawapannya jelas. Namun, kita terus melihat mereka yang memegang jawatan itu diberi peluang kembali memimpin, walaupun dibebani puluhan kes mahkamah.

“Malu apa, Bossku?” bukanlah suara rakyat, tetapi suara pemimpin yang kehilangan rasa malu. Pemimpin yang merompak, menyalah guna kuasa, dan dijatuhkan hukuman kini menikmati diskaun hukuman dan bakal dapat keistimewaan seperti tahanan di rumah. Adakah ini keadilan yang kita perjuangkan? Jika seorang banduan elit boleh diberi layanan istimewa, apakah nasib rakyat marhaen di penjara?

Pemimpin mengajak pengikut berbicara tentang hak bangsa dan agama, tetapi bandingkan dengan bangsa lain. Bangsa lain menjaga ekonomi mereka, bersatu tanpa mengira ideologi, dan menggunakan kuasa untuk memajukan bangsa mereka.

Sebaliknya, kitalah yang terus berbalah sesama sendiri, salah guna kuasa, dan menjual prinsip untuk keuntungan sementara. Demi kuasa, ada yang sanggup bekerjasama dengan pihak yang mereka hina dan lawan sebelum ini.

Rakyat semakin sedar bahawa mereka hanyalah alat dalam permainan politik. Politik agama dan bangsa hanya digunakan untuk meraih kuasa, bukan untuk memperjuangkan rakyat.

Pemimpin datang dan pergi, namun penderitaan rakyat tetap kekal. Setiap pilihan raya, rakyat diberi RM100 atau RM200 sebagai “sogokan”, tetapi selepas itu, apa yang dijanjikan seringkali dilupakan.

Hasilnya, golongan elit terus kaya, anak-anak mereka terus menjarah harta negara, manakala rakyat bawahan terus ketinggalan. Kita menyaksikan bagaimana individu yang menjadi simbol kleptokrasi kini dibela oleh pihak yang dulunya berdiri di barisan depan menentangnya. Di mana maruah? Di mana prinsip?

Hari ini, rakyat sudah tidak lagi termakan dengan naratif lama. Kita tahu bahawa perubahan sebenar tidak akan datang selagi golongan pemimpin ini terus bermain dengan retorik agama dan bangsa untuk kepentingan diri sendiri.

Jika bangsa lain boleh bersatu untuk membina masa depan, mengapa kita masih terperangkap dengan kitaran politik yang sama?

Sudah tiba masanya rakyat tidak lagi menjadi mangsa permainan kuasa. Kita memerlukan pemimpin yang benar-benar jujur, berprinsip, dan berjuang demi rakyat, bukan sekadar menjadikan rakyat alat untuk mempertahankan takhta mereka.

Sampai bila kita ingin terus hidup dalam lingkaran yang sama, di mana rakyat menjadi mangsa, dan golongan elit terus menikmati kemewahan hasil daripada penderitaan rakyat?

Inilah masanya untuk perubahan. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara, dan rakyat harus bangkit menuntut keadilan yang sebenar. Bukan lagi untuk individu atau kumpulan tertentu, tetapi untuk masa depan seluruh generasi.

MAHATHIR MOHD RAIS ialah setiausaha Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun Mahathir berkata pandangan di atas dikeluarkan atas kapasiti individu.

Ulasan